suria

Guru Bebas Pertuduhan Miliki Kertas Soalan UPSR Bocor

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Lenggeng, Nilai, daripada pertuduhan memiliki kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) secara tidak sah, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Kamaludin Md Said mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan guru berkenaan P. Murugan, 38, pada 16 April tahun lepas.

Dalam penghakimannya, Kamaludian berkata rayuan keseluruhannya adalah atas fakta yang telah diputuskan oleh hakim bicara dan Mahkamah Rayuan jarang untuk mengusik keputusan atas dapatan fakta kes bicara.

"Mahkamah Tinggi mendapati keputusan hakim bicara atas dapatan fakta adalah berdasarkan kepada keterangan yang ada. Oleh itu Mahkamah Tinggi tidak mengusik dan mengekalkan keputusan hakim bicara, justeru rayuan pihak pendakwaan ditolak," katanya.

Murugan didakwa memiliki kertas soalan Matematik 015/1 antara 8 Sept dan 17 Sept 2014 melalui seunit telefon pintar di sebuah rumah di Taman Sri Mawar, Mantin, dekat sini.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Azhan Hakim Nik Mahmood manakala Murugan diwakili peguam M. Haresh dan Ramzani Idris. - BERNAMA


UPSR, P. Murugan

Artikel Berikut

Artikel Lain