suria

Kerajaan Persekutuan Salur RM594 Juta Ke Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM594 juta bagi pembangunan tiga infrastruktur di Kelantan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustapha berkata projek berkenaan adalah pembinaan hospital pakar di Kuala Krai, pembesaran Jambatan Pasir Mas dan pembinaan persimpangan bertingkat di atas landasan keretapi di pusat bandar Tanah Merah.

"Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM300 juta bagi pembinaan sebuah hospital pakar di Kuala Krai yang menempatkan 268 katil yang dijangka siap pada 2018.

"Hospital tersebut kini 56 peratus siap dan akan menjadi antara hospital tercanggih di Kelantan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada PADA di majlis penyerahan peruntukan Hari Sukan Negara yang turut dihadiri pengarah Jabatan Belia dan Sukan Kelantan Mohd Salleh Ramli.

Makhtar berkata RM114 juta pula adalah untuk pembesaran Jambatan Pasir Mas daripada dua kepada empat lorong.

Projek berkenaan 46 peratus siap dan lorong baru itu dijangka dapat digunakan pada pertengahan 2018.

"Bagi pembinaan persimpangan bertingkat di atas landasan keretapi di pusat bandar Tanah Merah sepanjang 1 kilometer, kerajaan memperuntukkan RM180 juta bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

"Kontraktor memasuki tapak projek pertengahan Ogos lepas dan berkemungkinan akan memulakan pembinaan akhir tahun ini," katanya.

Pada majlis berkenaan, 459 Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan menerima peruntukan RM500 bagi melaksanakan aktiviti sukan berskala mini di kawasan masing-masing sempena Hari Sukan Negara yang akan diadakan secara serentak di seluruh negara pada 8 Oktober depan.

Mengenai Hari Sukan Negara, Makhtar berkata jabatannya menyasarkan kira-kira 500,000 peserta dari seluruh Kelantan.

Beliau berkata program yang akan diadakan di Institut Pendidikan Guru Pengkalan Chepa itu akan dilancarkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed. - BERNAMA

Kelantan, Kerajaan Persekutuan

Artikel Lain