suria

Tiada PRN Untuk Bantah Cadangan Kajian Persempadanan SPR

Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN: Kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang tidak bercadang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi membantah cadangan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di negeri itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri sebaliknya akan mengemukakan bantahan kepada SPR sebagai pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata isu mengadakan PRN bagi membantah cadangan persempadanan itu di Pulau Pinang sebenarnya tidak berbangkit.

"Saya rasa kalau nak buat PRN, sudah buat tetapi...buat masa sekarang perkara itu tidak berbangkit," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Pada Ahad, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyatakan Pakatan Harapan negeri akan bermesyuarat bagi mendapatkan pendirian bersama dalam  membantah cadangan kajian persempadanan itu.

Bagaimanapun, Chow yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri berkata beliau tidak dapat menghadiri mesyuarat Pakatan Harapan itu yang diadakan pada Ahad.

Katanya beliau difahamkan kerajaan Pulau Pinang akan meneliti impak kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya itu sebelum menentukan tindakan  yang akan diambil.

"Kajian mengenai perkara itu mungkin dapat dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.

Menurutnya kerajaan Pulau Pinang merancang untuk menggunakan kuasa sebagai pihak berkuasa tempatan bagi mengemukakan bantahan berhubung proses persempadanan semula itu.

Pada 13 September lepas, Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.

Semua pihak diberi masa sebulan sehingga 14 Oktober untuk mengemukakan bantahan masing-masing.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Dihukum 12 Tahun Bunuh Kekasih

Artikel Berikut

Artikel Lain