suria

KPWKM Sokong Kad Khas Kenal Pasti Bayi, Ibu Susuan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap cadangan mewujudkan kad khas bagi bayi yang menyusu daripada bukan ibu kandung.

Menteri berkenaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pihaknya bersedia menganjurkan kursus atau ceramah mengenai kepentingan kad itu supaya isu itu lebih difahami masyarakat.

"Kementerian menyokong apa sahaja nasihat daripada ulama untuk memantapkan lagi nilai hidup masyarakat Islam.

"Jika perlu, kami akan memberi penerangan lanjut kepada kaum ibu mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Sidang Kemuncak dan Pameran Wanita Islam Antarabangsa (WISE) 2016 di sini, Ahad.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin.

Rohani mengulas cadangan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam agar diwujudkan kad khas itu bagi menyatakan hubungan ibu dan anak susuan (nasab) memandangkan terdapat wanita yang menyusukan anak orang lain tidak mengetahui pertalian itu.

Kad khas itu akan memudahkan pelbagai urusan termasuk mengelak perkahwinan antara adik-beradik yang merupakan anak kepada ibu susuan.

Senada dengan Rohani, Othman berkata Jakim menyambut baik cadangan itu.

Beliau percaya mufti berkenaan telah menjalankan kajian terperinci daripada segi hukum sebelum mengemukakan cadangan itu.

Ibu Susuan

Artikel Lain