suria

Tahanan Guantanamo Warga Malaysia Mungkin Dihantar Pulang - TPM

Mohamad Bashir Lap (Gambar fail)
NEW YORK: Mohamad Bashir Lap, seorang daripada dua tahanan warga Malaysia di kem tahanan Guantanamo Bay, mungkin dihantar pulang ke tanah air namun perlu terus menjalani proses deradikalisasi di penjara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata perkara itu dimaklumkan dalam pertemuannya dengan Perutusan Khas Amerika Syarikat Mengenai Penutupan Guantanamo, Lee Wolowsky di sini pada Rabu.

"Kemungkinan itu selari dengan usaha kita untuk membawa pulang tahanan Malaysia di Guantanamo Bay," katanya kepada wartawan Malaysia pada Khamis.

Beliau berada di sini untuk mengetuai delegasi Malaysia pada Sesi ke-71 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kedua-dua warga Malaysia berkenaan, Mohamad Bashir dan Mohd Farik Amin, ditahan sejak 2006 kerana pembabitan mereka dengan Jemaah Islamiyah (JI) pada awal 2000.

Mereka juga dikatakan terbabit dengan pengeboman Hotel J.W Marriott di Jakarta pada 2003 dan telah ditahan di Bangkok pada tahun sama.

Menurut Ahmad Zahid, Lembaga Semakan Berkala Amerika Syarikat atau US Periodic Review Board telah mengeluarkan keputusan pada 15 Sept lepas bahawa kedua-dua mereka masih merupakan ancaman kepada keselamatan Amerika Syarikat.

"Namun, Amerika Syarikat memaklumkan tentang kemungkinan seorang daripada mereka (Mohamad Bashi) dihantar pulang ke Malaysia tetapi perlu terus menjalani proses deradikalisasi," katanya.

Ringkasan semakan US PRD itu menyebut bahawa ia menggalakkan usaha diambil bagi mendekati keluarga tahanan yang mungkin dihantar pulang itu dan pegawai kerajaan Malaysia, berhubung kesediaan sekiranya tahanan berkenaan dipindahkan ke Malaysia.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata satu Jawatankuasa Peringkat Tinggi mengenai perkara itu akan segera ditubuhkan dengan beliau sendiri selaku pengerusi.

Jawatankuasa itu akan dianggotai Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Ahmad Zahid seterusnya berkata beliau menjemput Wolowsky untuk berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi menjelaskan dengan lebih terperinci kepada Jawatankuasa Peringkat Tinggi itu mengenai keperluan atau syarat yang mesti dipenuhi untuk memindahkan tahanan Guantanamo itu ke Malaysia.

"Saya yakin program deradikalisasi Malaysia itu mampu memulihkan tahanan warga Malaysia berkenaan," katanya sambil menambah peratusan kejayaan program itu mencecah 97.5 peratus dan diiktiraf pihak berkuasa antarabangsa termasuk Interpol.

"Dalam pertemuan saya dengan Wolowsky, saya memaklumkan kepada beliau bahawa program deradikalisasi Malaysia mempunyai Lembaga Pencegahan Keganasan yang membuat semakan terhadap keberkesanan program itu ke atas individu yang diletakkan di bawahnya," katanya.

Malahan, Akta Pencegahan Keganasan 2015 juga membolehkan penggunaan Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) ke atas individu berkenaan, tambah beliau.

Beliau berkata usaha membawa pulang tahanan itu tidak bermakna Malaysia bersekongkol dengan kegiatan keganasan di mana-mana negara.

"Bagi kita apa yang penting ialah keprihatinan kerajaan terhadap rakyat Malaysia yang ditahan tanpa bicara begitu lama di negara lain," tambahnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain