suria

Fama Perluas Lokasi Jualan Program My Best Buy

Ahmad Ishak (kanan) memberi orang ramai merasa durian pada karnival 'MyBest Buy' kempen lebihkan makan buah-buahan tempatan 2016 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan pada Jumaat. Foto Bernama

KOTA BARU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan memperluaskan lokasi jualan program 'My Best Buy' kepada 64 tempat tahun ini berbanding 54 tahun lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, langkah itu bagi membantu rakyat di kawasan bandar menikmati tawaran produk pertanian dengan harga berpatutan di samping membantu petani memasarkan produk masing-masing.

"Sebanyak RM7 juta jualan produk berjaya dihasilkan melalui 54 lokasi My Best Buy di seluruh negara pada tahun lepas.

"Berdasarkan nilai jualan tersebut, pada tahun ini, kita akan perluaskan lokasi jualan My Best Buy kepada 64 tempat dengan jangkaan peningkatan jualan 100 peratus atau sebanyak RM14 juta," katanya.

Ahmad berkata demikian selepas merasmikan Karnival My Best Buy, Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan 2016 dan Pemilihan Sajian Makanan Popular Sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha 2016) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini, Jumaat.

Beliau berkata, Fama juga telah mengenal pasti 10 lokasi jualan di premis miliknya di seluruh negara untuk diadakan jualan My Best Buy bersaiz besar selama dua hari sebulan.

"Kita dapati program My Best Buy ini menjadi pilihan utama pengguna di kawasan bandar seluruh negara. Ini kerana pengguna mampu menikmati potongan harga sehingga 20 peratus bagi produk yang segar dan berkualiti, selain menjadi platform mengekalkan keistimewaan buah-buahan tempatan kepada masyarakat terutama generasi muda," katanya.

Antara peserta yang mengambil bahagian pertandingan makan durian sempena karnival 'MyBest Buy' kempen lebihkan makan buah-buahan tempatan 2016. Foto Bernama

Sementara itu, beliau berkata, kadar penggunaan perkapita buah-buahan dan sayur-sayuran oleh rakyat negara ini masih rendah iaitu hanya 60 kilogram setahun berbanding saranan 400 kilogram setahun oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Berdasarkan kajian yang dilakukan, rakyat hanya mengambil buah dan sayur sekitar lima kilogram sebulan atau hanya satu kilogram seminggu. Jumlah ini sangat rendah dan perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya 120 kilogram setahun. 

"Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran ini penting untuk ditingkatkan, bukan hanya bagi menyokong peningkatan pengeluaran dan ekonomi negara tetapi juga untuk kesihatan rakyat," katanya.

Beliau berkata, senario itu dipengaruhi pelbagai faktor termasuk budaya pemakanan sihat yang kurang diterapkan sejak kecil serta kurang kreatif dalam persembahan atau penghasilan bentuk penggunaan buah-buahan yang akhirnya memberi kesan kepada pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan.

Sehubungan itu, katanya Fama akan meneruskan usaha meningkatkan kesedaran pengguna tempatan seperti kempen lebihkan makan buah-buahan, meningkatkan pengeksportan serta membangunkan industri pemprosesan produk pertanian dari semasa ke semasa. - Bernama

Fama, My Best Buy

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain