suria

Dua Lagi Anggota Geng Samun 'Rizal Kundang' Ditahan

KUALA LUMPUR: Dua daripada empat anggota kumpulan samun Geng 'Rizal Kundang' yang kini menjadi buruan polis, ditahan di Kundang, Sungai Buloh, dekat sini, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata, lelaki dan wanita itu ditahan pada kira-kira 1 pagi kerana disyaki terlibat kes samun di Kuang, minggu lepas.

"Dua individu yang ditahan itu berumur lingkungan 20-an kini direman selama lima hari bermula hari ini.

"Manakala suspek lelaki yang cedera ditembak polis semalam direman selama empat hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata, polis masih memburu dua lagi suspek kumpulan berkenaan yang telah dikenal pasti identiti mereka. 

Pada Khamis, ketua geng berkenaan yang dikenali sebagai Rizal, 42, cedera ditembak ketika cuba melarikan diri daripada polis di Desa Coalfields, Sungai Buloh.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, polis yang sedang melakukan rondaan terlihat sebuah kereta Naza Citra berwarna merah dalam keadaan mencurigakan dan apabila diminta berhenti pemandunya terus memecut laju.

Anggota polis yang mengejar kereta suspek terpaksa melepaskan beberapa das tembakan mengenai tayar sebelah kiri kereta berkenaan.

Sejurus selepas tembakan dilepaskan, suspek berhenti dan menurunkan seorang rakannya di tepi jalan dan meneruskan perjalanan sejauh satu kilometer lagi ke Desa Coalfields.

Berikutan itu, polis terpaksa mengejar kereta suspek manakala rakan suspek berjaya meloloskan diri di tepi jalan berkenaan.

Polis yang mengejar suspek melepaskan lima das tembakan yang satu daripadanya mengenai bahu kiri lelaki itu dan menyebabkan suspek tidak dapat mengawal kenderaannya dan berhenti di tepi sebuah kedai serbaneka sebelum ditahan anggota polis. - Bernama

Rizal Kundang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain