suria

Mayat Subkontraktor Ditemui Dalam Belukar

- Gambar hiasan
KUCHING: Mayat subkontraktor lelaki berusia 51 tahun yang dilaporkan hilang pada Khamis ditemui di kawasan belukar berhampiran tapak pembinaan Taman Seri Maya, Pasir Pandak dekat sini pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata mayat Jong Khin Hien ditemui kira-kira pukul 10 pagi oleh orang awam di kawasan itu.

Katanya, seorang kontraktor lelaki berusia 33 tahun yang juga pengadu kes dimaklumkan oleh pekerjanya melalui panggilan telefon mengenai kehilangan mangsa yang gagal kembali ke tempat kereta di kawasan tapak pembinaan berkenaan, pada kira-kira pukul 8 malam.

Menurut Abang Ahmad, pengadu bersama abang serta pekerjanya kemudian  berusaha mencari mangsa, namun gagal menemuinya dan seterusnya membuat laporan di Balai Polis Santubong.

Kira-kira pukul 10 pagi tadi, polis menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan mayat seorang lelaki telah dijumpai di kawasan belukar berhampiran kawasan pembinaan Taman Seri Maya, katanya.

Beliau berkata, siasatan awal di tempat penemuan mayat tidak mendapati kesan kecederaan fizikal dan mayat lelaki berkenaan telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya.

Bagaimanapun, katanya polis masih menunggu ahli keluarga mangsa untuk mengesahkan identiti mayat berkenaan.

Artikel Sebelum

Felda Ulu Penggeli Raih RM1 Juta

Artikel Lain