suria

Polis Rampas Kelopak Peluru, 30 Peluru M16, Tahan Dua Beranak

KOTA KINABALU:Polis Sabah merampas tiga kelopak peluru M16 dan 30 peluru M16 selepas menahan seorang lelaki warga Filipina dan anak perempuannya di sebuah rumah di Kampung Mangkalinau Batu 3, Sandakan, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata dua beranak yang masing-masing berumur 33 dan 13 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dilakukan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan kira-kira pukul 1.30 pagi.

Salehhudin berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas sebilah pedang berserta sarung dengan anggaran panjang 65cm termasuk hulu pedang.

"Kedua-dua suspek adalah warga Filipina yang tidak memiliki keterangan diri dan tidak bekerja," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah.

Salehhudin berkata kedua-dua suspek terbabit ditahan reman sehingga 26 September ini untuk siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan hukuman penjara tidak lebih daripada tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Beliau juga berkata polis masih menyiasat sama ada suspek lelaki itu mempunyai kaitan dengan mana-mana pengganas atau kumpulan militan.-- Bernama

Kampung Mangkalinau, M16, Sandakan

Artikel Sebelum

Rezeki Air Pasang Besar

Artikel Berikut

Artikel Lain