suria

PKR Tidak Berpecah Belah Di Sabah - Tian Chua

Tian Chua.

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking keluar dari PKR bukan petanda parti itu berpecah-belah di Sabah, kata Tian Chua.

Naib Presiden PKR itu berkata, ia merupakan keputusan peribadi Leiking dan parti akan terus bekerjasama dengan parti pembangkang lain di Sabah, termasuk parti tempatan yang disertai Leiking.

"Rakyat Sabah perlu suara tempatan yang lantang dan beliau (Leiking) percaya bahawa beliau mahu menumpukan politik di Sabah berbanding politik negara," kata Chua ketika ditemui pemberita di sini, Khamis.

Terdahulu, dilaporkan Leiking, yang merupakan satu-satunya ahli Parlimen dari PKR di Sabah, bertindak meninggalkan parti itu untuk menyertai parti tempatan sedia ada di Sabah yang bakal diterajui bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.

Menurut Leiking, beliau akan bekerjasama dengan Shafie dan pemimpin-pemimpin pembangkang di Sabah yang lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR-Moyog, Terence Siambun dikatakan turut mengikut langkah itu, menjadikan parti hilang lagi seorang wakil rakyatnya di Sabah.

Bagaimanapun, Chua yang juga Ahli Parlimen Batu percaya tiada lagi pemimpin yang dijangka meninggalkan parti.

"Saya fikir Shafie akan menggunakan beberapa formula. Sebahagian pemimpin mungkin akan menyertai partinya dan sebahagian lagi akan bersama parti kita, jadi kita perlu bekerjasama," katanya.

Beliau berkata, formula tersebut untuk jalinan kerjasama dengan parti-parti pembangkang di Sabah dan Sarawak untuk menentang Barisan Nasional.

"Ia sentiasa menjadi keperluan untuk mempunyai elemen tempatan, jadi kita mengalu-alukan kerjasama dengan parti-parti di negeri itu," katanya.

Artikel Lain