suria

Lelaki Warga Asing Ada Kaitan IS Dihantar Pulang

KUALA LUMPUR: Tiga warga asing dan seorang rakyat tempatan ditahan kerana didakwa terbabit dalam pelbagai kumpulan pengganas termasuk militan Negara Islam (IS).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek ditahan oleh Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman antara 2 Ogos dan 17 September lalu.

Ketiga-tiga warga asing itu bagaimanapun telah dihantar pulang ke negara mereka.

Seorang daripada suspek adalah lelaki Bangladesh berusia 37 tahun yang ditahan pada 19 Ogos kerana menyeludup senjata untuk kumpulan pengganas antarabangsa.

"Dia memiliki sebuah restoran di Bukit Bintang dan tersenarai dalam Notis Merah Interpol.

"Dia telah dihantar pulang pada 2 September," kata Khalid menerusi kenyataan pada Khamis.

Selain itu, katanya, suspek kedua adalah seorang ahli perniagaan warga Nepal berusia 38 tahun telah ditahan pada 19 Ogos dan dihantar pulang juga pada 2 September.

"Kami dapati dia menguruskan pusat hiburan dan sebuah hotel. Kami percaya dia bertanggungjawab memalsukan dokumen bagi memudahkan perjalanan pengganas," kata Khalid.

Dua lagi suspek, masing-masing seorang lelaki berusia 26 tahun adalah warga Maghribi yang bekerja sebagai pengimpal dan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang menguruskan operasi IS di Malaysia yang mempunyai kaitan dengan Mohamad Wanndy Mohamad Jedi.

Pihak berkuasa Turki menahan Maghribi sebelum ini kerana cuba memasuki Syria.

"Selepas dibebaskan, dia berjaya mencari jalan ke Malaysia pada Mei lalu," kata Khalid.

Warga Maghribi itu ditahan pada 2 Ogos dan dihantar pulang pada 21 September.

Sementara itu, seorang lelaki tempatan yang ditahan kerana disyaki mempromosi propaganda dan ideologi IS melalui akaun Facebooknya.

Dia bekerja sebagai pemandu untuk seorang ahli perniagaan.

IS, Pengganas, Khalid Abu Bakar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain