suria

'Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah', Tema Sambutan Maal Hijrah 1438

PUTRAJAYA: Sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan tahun 1438 hijrah akan diadakan di Taman Ekspo Agropertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 2 Okt depan bertemakan 'Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah'.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sebanyak 105 kontinjen akan menyertai perarakan sejauh 1.7 kilometer bersempena Maal Hijrah itu melibatkan kira-kira 10,000 peserta daripada agensi kerajaan dan swasta, badan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan dan pelajar.

Beliau berkata tema itu bertepatan dengan usaha kerajaan menyatupadukan rakyat, hidup rukun dan harmoni serta penuh muhibah yang menjadi transformasi kepada kemakmuran negara.

"Natijahnya ukhuwah Islamiah yang terbina berasaskan iman dan taqwa akan menumbuhkan rasa persaudaraan, kasih sayang dan saling hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira status bangsa, agama dan fahaman politik," katanya pada sidang media sambutan Maal Hijrah di sini pada Rabu.

Seperti tahun sebelumnya, Jamil Khir berkata seorang penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan akan dipilih dan bakal menerima wang tunai RM100,000, pingat dan sijil penghargaan.

Pada sidang media itu, Jamil Khir turut melancarkan Pertandingan Poster Kreatif Dakwah Digital 'Klik Dengan Bijak' 2016 yang bertujuan mendidik masyarakat mendalami perkara berkaitan dengan keselamatan internet.

"Pertandingan ini dilihat berupaya memperkasa dan menggalakkan penglibatan komuniti dalam penggunaan teknologi sejajar dengan nilai Islam, seterusnya melahirkan komuniti yang mempunyai tahap literasi teknologi yang baik," katanya.

Pertandingan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) itu dibahagikan kepada enam tema iaitu 'Sabar Sebelum Sebar', 'Mana Adab', 'Syurga Ekspress', 'Permata Hatiku', 'Antara Pahala dan Dosa' serta 'Menjauhkan yang Dekat'.

Pertandingan terbahagi kepada kategori umum, sekolah dan Komuniti Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) dengan pemenang akan dipilih pada setiap dua minggu.

Jamil Khir berkata karya-karya pemenang kategori umum dan sekolah di peringkat dwimingguan akan dipertandingkan sekali lagi untuk mendapatkan pemenang keseluruhan yang akan menerima hadiah wang tunai RM5,000.

Juara kategori PI1M pula akan menerima hadiah wang tunai RM1,000 selepas pertandingan tamat pada akhir November ini.

Maklumat lanjut pertandingan itu boleh didapati melalui portal www.dakwahdigitalkdb.my atau menghubungi urusetia pertandingan di talian 03-8688 8057 atau 03-8886 4286. - BERNAMA


Maal Hijrah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain