suria

Malaysia-Thailand Tidak Sentuh Isu Justo

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau mana-mana delegasi Malaysia tidak langsung membangkitkan sebarang perkara berhubung Andre Xavier Justo, yang disabitkan kesalahan memeras ugut bekas majikannya semasa Mesyuarat Perundingan Tahunan Malaysia-Thailand ke-6 di Bangkok, baru-baru ini.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata bertentangan dengan laporan yang diterbitkan akhbar Swiss 'Le Temps', Malaysia tidak membenarkan percubaan untuk mengganggu hal ehwal dalaman atau proses kehakiman negara lain.

"Tambahan pula, Perdana Menteri tidak disertai oleh individu yang dinamakan  'Le Temps'," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tengku Sariffuddin berkata realitinya, pada mesyuarat Perundingan Tahunan berkenaan, keselamatan dan usaha bersama untuk memerangi ekstremisme menjadi agenda utama mesyuarat, selain menandatangani perjanjian perdagangan, pertumbuhan ekonomi untuk rakyat dan pembangunan inklusif untuk Muslim di selatan Thailand.

Bangkok membuat keputusan untuk menafikan permintaan Justo, bekas pekerja PetroSaudi International, untuk menjalani baki hukuman penjara tiga tahun di negara asalnya, Switzerland.

Namun, Portal berita 'Sarawak Report' dan Le Temps mendakwa Bangkok membuat keputusan itu akibat tekanan daripada luar.

Tengku Sariffuddin juga berkata selama dua tahun, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad telah melancarkan kempen untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi, semata-mata demi kepentingan politik diri dan untuk memperoleh manfaat untuk anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, apabila kempen Mahathir gagal, beliau tanpa segan silu mengundang campur tangan asing ke negara sendiri serta turut menggunakan blog partisan politik, Sarawak Report untuk mempengaruhi media utama Barat.

"Sarawak Report pula, secara konsisten menyebarkan tuduhan palsu dan maklumat berniat jahat yang salah kepada media Barat, sesetengah daripada mereka telah meminggirkan prinsip kewartawanan yang betul dengan menyiarkan dakwaan berbahaya berdasarkan semata-mata daripada sumber yang tidak diketahui - semua yang diberikan kepada mereka oleh pihak yang bermotifkan politik," katanya.

Beliau berkata dakwaan palsu yang diterbitkan oleh Le Temps adalah contoh terbaharu apabila akhbar berkenaan mengaitkan perkara itu daripada sumber yang tidak diketahui, tetapi sebenarnya maklumat berkenaan telah diberi kepada mereka oleh Sarawak Report.

"Sebagai sebahagian daripada corak yang biasa kini, "sumber' ini gagal memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan mereka - kerana semuanya tidak wujud," katanya.

Justo mengaku bersalah pada 17 Ogos 2015 kerana cuba memeras ugut PetroSaudi International, yang mempunyai urusan dengan 1Malaysia Development Berhad.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula pada 22 Jun 2015, hari Justo ditangkap di Koh Samui, pulau peranginan di selatan Thailand.

Dia didakwa mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan Thai yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan denda antara 2,000 baht (RM222)) dan 20,000 baht (RM2,223).

Artikel Lain