suria

Operasi Tahan Kakitangan Awam Terlibat Rasuah Dalam Masa Terdekat - SPRM

Datuk Azam Baki
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siri operasi di beberapa buah negeri bagi menahan kakitangan sektor awam yang terlibat dalam kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata pihaknya memandang serius gejala rasuah khususnya dalam agensi kerajaan dan akan terus menggunakan segala keupayaan serta kekuatan yang ada bagi mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

Menurut beliau, SPRM dijangka akan memanggil dan menahan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan terlibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam masa terdekat.

"Mereka yang akan dipanggil terdiri daripada pegawai badan awam dan syarikat milik kerajaan (GLC). SPRM akan menangkap individu-individu ini yang terlibat tidak kira 'jerung' atau 'ikan bilis' kerana perbuatan sedemikian.

"SPRM sedaya upaya cuba membersihkan perkhidmatan awam termasuk GLC daripada gejala ini dan usaha digemblengkan untuk mengesan pegawai badan awam yang terlibat dalam kegiatan rasuah," katanya kepada Bernama di sini.


Sejak Ogos lalu, negara telah digegarkan dengan beberapa siri penangkapan oleh SPRM yang melibatkan beberapa individu penting dalam agensi kerajaan sehingga mereka didakwa di mahkamah.

Mereka termasuklah pegawai tinggi di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Bank Rakyat.

"SPRM sentiasa mengambil langkah-langkah holistik untuk membendung perbuatan rasuah dan salahguna kuasa kerana ia merupakan satu perkara yang boleh memudaratkan ekonomi negara sekali gus memberi impak negatif kepada kehidupan rakyat selain menyebabkan masalah sosial yang serius.

"Kita tidak mahu perkara sedemikian berlaku dan menyebabkan rakyat sengsara akibat perbuatan segelintir orang yang tidak berintegriti," katanya.

Azam berkata tindakan ini selaras dengan hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad yang mahu SPRM memberi tumpuan untuk membasmi rasuah dalam agensi penguatkuasaan, kawal selia, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Azam juga berkata tindakan agresif SPRM membuktikan pihaknya tidak akan bertolak ansur jika siasatan membuktikan terdapat perbuatan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pegawai sektor awam.

"Kejayaan SPRM menahan beberapa pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan baru-baru ini merupakan hasil kerjasama dan sokongan daripada orang ramai secara berterusan.

"SPRM akan menyiasat semua kes dengan terperinci dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang yang sedia ada. Maka tidak wujud isu kes kecil atau besar.

"Selagi sesuatu kes mempunyai unsur rasuah, SPRM akan mengambil tindakan yang sewajarnya berlandaskan undang-undang yang ada," tambahnya.


Artikel Sebelum

Jeff Ooi Serah Diri Esok

Artikel Lain