suria

Hina Kematian Haron Din: Mahkamah Tolak Permohonan Reman Dua Individu

-fotoTHESTAR/BrianMoh
JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret di sini menolak permohonan reman oleh polis terhadap dua lelaki kerana didakwa menghina Islam berhubung kematian Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din di media sosial.

Majistret Noor Aisyah Ahmad membuat keputusan itu di bawah Seksyen 177 Kanun Prosedur Jenayah dan mengarahkan pihak polis membebaskan kedua-dua suspek dengan segera.

Peguam Roger Chan Weng Keng, yang mewakili kedua-dua suspek berhujah bahawa tidak ada alasan munasabah untuk pihak polis menahan reman anak guamnya.

"Majistret menolak permintaan polis untuk mereman kedua-dua suspek dan mereka akan dibebaskan.

"Kedua-dua lelaki berada dalam tahanan polis selama lebih dari 12 jam selepas mereka ditangkap di rumah mereka di Lembah Klang awal pagi Isnin," katanya.

Chan berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah di sini pada Isnin.

Beliau berkata semasa dalam tahanan, polis tidak menjalankan sebarang siasatan ke atas anak guamnya kecuali gambar mereka diambil dan membawa mereka di sini bagi memohon tahanan reman.

Dua lelaki berkenaan, seorang berusia 62 tahun dan seorang lagi merupakan perunding komunikasi strategik berusia 50 tahun, ditahan di Bandar Utama dan Shah Alam pada pagi Isnin.


Mereka disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata individu ketiga telah ditangkap di Ipoh.

Haron, 76, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di sebuah hospital di Amerika Syarikat pada Jumaat.

Artikel Lain