suria

Ujian Strain Zika ke Atas Dua Adik-Beradik - Dr Subramaniam

Datuk Seri Dr S. Subramaniam
KUCHING: Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan ujian untuk menentukan strain virus Zika yang menjangkiti dua adik-beradik dari Sarawak, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Seorang wanita hamil berusia 35 tahun di Miri dan kakaknya berumur 39 tahun di Setapak, Kuala Lumpur merupakan kes kelima dan keenam disahkan dijangkiti virus itu di negara ini.

Dr Subramaniam berkata IMR sedang cuba untuk menentukan sama ada strain virus berkenaan adalah virus jenis tempatan atau dari French Polynesia.

Beliau berkata wanita dari Miri itu telah ke Singapura pada Julai, tetapi adalah terlalu lama untuk dijangkiti virus itu sekarang.

Pemeriksaan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri menunjukkan kawasan yang diduduki wanita itu di Miri mempunyai banyak tempat pembiakan nyamuk Aedes, pembawa virus Zika dan denggi, katanya kepada pemberita di luar acara Persidangan Tahunan Dermatologi ke-41 di sini malam Khamis.

"Beliau ke Singapura pada Julai. Masa di antara lawatannya dan jangkitan itu agak lama untuk Zika melainkan disebabkan beliau mengandung, jadi simptomnya berlaku kemudian. Inilah perkara yang kita perhatikan," katanya.

Dr Subramaniam berkata kakak wanita terbabit melawat adiknya di Miri pada 26 Ogos dan pulang ke Kuala Lumpur pada 6 September.

"Jadi, ini boleh menjadi satu faktor menyumbang kepada penyebaran virus. 
Jelas sekali, nyamuk telah menggigit kakaknya kemudian menggigit yang lain, jadi kemungkinan besar inilah cara bagaimana adiknya dijangkiti virus itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan hujung bulan ini untuk mencapai kata sepakat berhubung keperluan mengugurkan kandungan wanita hamil yang dijangkiti virus Zika.

"Kami akan memberikan mereka (majlis itu) input perubatan dan saintifik. Mereka perlu menggunakan input itu dan membuat keputusan dalam komponen agama," katanya.


Wanita hamil yang dijangkiti virus Zika berhadapan risiko melahirkan bayi dengan microcephaly, kecacatan kelahiran yang menyebabkan kepala bayi lebih kecil berbanding bayi normal.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain