suria

Zika: Kementerian Akan Bertemu Majlis Fatwa Berkaitan Wanita Hamil

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan minggu depan berhubung pendirian bersama mengenai pengguguran bagi ibu yang dijangkiti virus Zika yang boleh menyebabkan bayi dijangkiti mikrocephali dan mengalami kecacatan.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata Kabinet telah mengarahkan kementerian membincangkan perkara itu dengan Majlis Fatwa bagi mendapatkan konsensus kebangsaan tentang bagaimana untuk mengendalikan isu itu.

Beliau berkata setakat ini hanya seorang mufti yang tampil memberi penjelasan tentang perkara itu, dan undang-undang sedia ada di negara ini hanya membenarkan pengguguran jika ia merisikokan nyawa ibu.

"Terdapat cadangan-cadangan daripada Kabinet, untuk Majlis Fatwa membincangkan secara terperinci isu itu, dan juga untuk mendapatkan input perubatan dan saintifik daripada kami dan mencapai konsensus kebangsaan.

"Sebaik sahaja konsensus kebangsaan dicapai, komponen saintifik dan kalangan pakar perubatan akan duduk berbincang dan mengeluarkan nasihat berdasarkan pada perbincangan itu," katanya dalam sidang media mingguan beliau di sini, Rabu.

Dr Subramaniam diminta mengulas kenyataan mufti Wilayah persekutuan bahawa  ibu mengandung yang dijangkiti virus Zika dibenarkan melakukan pengguguran.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti dua jenis strain virus Zika iaitu French Polynesia dan Micronesia, yang menjadi punca kepada sejumlah enam kes di negara ini setakat ini.

Katanya virus jenis French Polynesia mempunyai persamaan dengan yang ditemukan di Brazil dan Singapura manakala satu lagi adalah strain tempatan (Micronesia) daripada kes awal yang direkodkan dalam negara.

"Keputusan itu diperoleh daripada ujian dijalankan ke atas dua pesakit pertama yang dijangkiti di Taman Botani, Klang dan Likas, Sabah. Berhubung empat lagi kes, kementerian masih lagi menjalankan ujian lanjutan," katanya.

Kes pertama Zika melibatkan wanita berumur 58 tahun dari Klang yang dijangkiti penyakit itu di Singapura manakala kes kedua ialah seorang lelaki yang meninggal dunia akibat komplikasi berkaitan jantung.

Ditanya virus jenis mana yang bahaya, Dr Subramaniam berkata: "Kami masih belum tahu dan kami masih menyiasat strain-strain. Tetapi adalah lebih baik untuk menganggap risikonya adalah sama dan mengambil langkah-langkah perlu. Jika risikonya adalah kurang, ia baik untuk kita."

Dr Subramaniam berkata antara 1 Sept sehingga hari ini, kementerian memantau 79 orang yang dikesan mempunyai simptom Zika tetapi ujian darah dan air kencing mereka menunjukkan negatif.

Simptom jangkitan Zika termasuk demam, ruam, sakit sendi, konjunktivitis (mata merah), sakit otot, pening, sakit di bahagian belakang mata dan muntah.

Setakat ini, beliau berkata kementerian dan pihak berkuasa tempatan telah melakukan pemeriksaan di 3,543 buah rumah, kebanyakannya terletak berdekatan dengan enam kes yang dilaporkan, di samping melakukan kegiatan membasmi jentik-jentik, semburan kabus dan langkah kawalan vektor yang lain.

Artikel Lain