suria

MH370: DCA Sentiasa Berhubung Dengan Pihak Relevan

Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman
PUTRAJAYA: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sentiasa berhubung dengan pihak-pihak berkuasa relevan di Afrika Selatan, Mozambique dan Madagascar ketika lebih banyak serpihan, mungkin milik Penerbangan MH370 Malaysia Airlines, dikesan di negara berkenaan.

Ketua Pengarah DCA Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata sebarang penemuan serpihan akan diberitahu kepada DCA oleh pihak berkuasa berkenaan.

"Atas pengesahan awal menerusi keterangan fotografi, kami kemudian akan, sama ada menghantar satu pasukan untuk mengambil seriphan atau meminta pihak berkuasa mengkurier serpihan ke Malaysia," kata beliau Selasa.

DCA mungkin juga meminta bantuan pesuruhajaya tinggi terdekat mengambil serpihan bagi pihak Kerajaan Malaysia dan mengkuriernya ke Malaysia.

Azharuddin berkata DCA kini dalam proses mendapatkan bantuan dari pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi di Afrika Selatan; Mozambique dan Madagascar bagi mengambil serpihan itu.

Beliau berkata DCA telah diberitahu secara rasmi oleh Pusat Penyelaras Bersama Australia (JACC) mengenai serpihan ditemui oleh warga Amerika, Blaine Gibson di Madagascar baru-baru yang telah diserahkan kepada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) semalam.

Azharuddin berkata serpihan yang ditemui itu akan dianalisis dan diperiksa di Canberra, Australia.

Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, lenyap dari imbasan radar sejurus setelah berlepas dari Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Pada 22 Julai, Malaysia, China dan Australia bersetuju menggantung tetapi bukan menamatkan kerja-kerja mencari pesawat malang itu setelah meliputi kawasan pencarian utama 120,000 km persegi, yang mungkin diselesaikan antara Oktober dan Disember.

Artikel Lain