suria

Penculik Di Pulau Pom Pom Bergerak Di Bawah Radar

Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR: Penculikan tiga kru kapal nelayan di Pulau Pom Pom, Semporna dipercayai dilakukan oleh kumpulan penculik untuk wang tebusan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.  

"Kumpulan ini bergerak di selatan Filipina, terutama dekat pulau-pulau di sekitar perairan Malaysia," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Bercakap pada sidang media pada Ahad, Ahmad Zahid berkata, tiga mangsa bukan rakyat Malaysia tetapi mereka Permastautin Tetap (PR).

"Kita melakukan banyak pengawasan di kawasan itu tetapi kumpulan ini berjaya bergerak di bawah radar, jadi saya memaklumkan kepada Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) dan APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) dan tentera laut supaya memantau sepenuhnya kawasan sepanjang 1,700km," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kelapan Parti Makkal Sakti Malaysia, di sini Ahad.

Dilaporkan tujuh suspek yang merupakan anggota kumpulan bersenjata Filipina dipercayai menculik mangsa di sempadan menghala wilayah kepulauan Tawi Tawi di Filipina.

Komander Esscom, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan menerima laporan kes berkenaan pada pukul 1.59 pagi Ahad.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata terdapat beberapa kekangan dari segi peralatan, namun beliau yakin ia akan diperoleh dalam masa terdekat.

Menurutnya, ketiga-tiga kru berkenaan bukan warganegara Malaysia tetapi merupakan pemastautin tetap.

"Walaupun begitu, pihak berkuasa akan terus memberi kerjasama dengan pihak berkuasa Filipina dan Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) telah berbincang dengan rakan sejawataanya, saya sendiri dah berbincang dengan rakan sejawatan saya serta Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) telah adakan perbincangan dengan rakan sejawatnya," kata beliau.

Esscom hari ini mengesahkan berlaku satu kes culik di perairan Pulau Pom Pom, Semporna malam tadi.

Komander Esscom Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi Bernama berkata laporan berhubung kes berkenaan diterima pada 1.59 pagi tadi.


Artikel Lain