suria

Al-Quran Jadi Tumpuan Umat Islam Pada World #QuranHour

KUALA LUMPUR: Selama sejam umat Islam di seluruh dunia dalam semangat penyatuan ummah mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran sempena Program World #QuranHour yang julung kali diadakan pada Ahad.

Titik tumpu acara itu di Masjid Sultan Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) disertai lebih 3,000 orang ketika umat Islam yang menunaikan haji berhimpun di Padang Arafah pada hari wukuf 9 Zulhijjah.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim, yang juga pengerusi UIAM, berkata program itu memperlihatkan cantuman jiwa umat Islam di seluruh dunia dalam mengagungkan kalam Allah itu. 

"Berkumpul kita di UIAM menandakan corak kemasyarakatan Islam. Acara ini tak dapat dibandingkan dengan kegiatan lain. Marilah kita bersama-sama terus perkukuh insaniah dan ketepikan perbezaan," katanya ketika berucap pada majlis bermula 9 pagi itu.

Rais kemudian membacakan surah al-Fatihah bagi memulakan program World #QuranHour disusuli bacaan surah al-Baqarah oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha. Di Masjid Negara, majlis dimulakan dengan bacaan doa diikuti ceramah ringkas bertajuk 'Adab Membaca Al-Quran' disusuli bacaan 30 juzuk ayat-ayat suci.

Selain orang awam, ia turut disertai 50 anggota Persatuan Karyawan Malaysia termasuk timbalan presidennya Radhi Khalid serta penyanyi veteran  Datin Paduka Julie Sudiro, pelakon Ezani Nizariff dan penyanyi Rozita Rohaizad.

Di SELANGOR, program World #QuranHour dipancarkan secara langsung oleh TV3 dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam yang menyaksikan penyertaan 100 hadirin termasuk selebriti tempatan dan personaliti sukan termasuk pelakon Datuk Rosyam Nor, atlet berbasikal negara Azizul Hasni Awang dan pemenang Program Da'i Musim ketiga, Hamidah Abdul Razak.

Di NEGERI SEMBILAN, 400 orang menyertai program itu anjuran Rumah Ngaji Negeri Sembilan dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Negeri Sembilan yang diadakan di Masjid Negeri.

Turut hadir Mufti negeri Datuk Mohd Yusof Ahmad yang mengetuai bacaan, Imam Masjid Negeri Zaher Rudin Mokhtar serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan.

Majlis turut mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Malaysia, sebagai sebuah negara majmuk selain mendoakan kesejahteraan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang baru sahaja keluar daripada Institut Jantung Negara pada 7 September lepas.

Di KELANTAN, Masjid Muhammadi Kota Bharu menjadi tumpuan lebih 2,000 jemaah menyertai World #QuranHour yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Kelantan Dr Yusnan Yussof.

Program bermula dengan solat sunat dhuha dan hajat diketuai Imam Muda 1 masjid berkenaan, Wan Zulkifli Wan Omar disusuli bacaan al-Quran secara  serentak pada 9 pagi.

Di PAHANG, program itu diadakan antara lain di Masjid Tengku Ampuan Afzan di Indera Mahkota, Kuantan disertai lebih 500 jemaah manakala di Masjid Al Muadzam Shah, Rompin, bacaan al-Quran secara beramai-ramai itu disertai 300 orang.

Pelajar antarabangsa juga dilihat tidak melepaskan peluang untuk menyertai program bacaan al-Quran itu di Universiti Malaysia Pahang kampus Gambang, Kuantan.

Di PERAK, majlis World #QuranHour diadakan di beberapa lokasi seperti Teluk Intan, Taiping, Kuala Kangsar dan Ipoh. 

Di Ipoh, majlis yang dianjurkan Pertubuhan Wanita Prihatin Perak (PWPP) di Masjid Jamek Kampung Melayu Sungai Rapat disertai kira-kira 300  muslimah.

Di SABAH, World #QuranHour di Masjid Raya Tawau disertai lebih 100 kakitangan Jabatan Imigresen, orang awam dan pelajar Ma'ahad Tahfiz Ashabissyahid, Bombalai.

Di KEDAH, program bacaan al-Quran di Masjid Al-Bukhary yang dipimpin Imam Mohamad Isa Shaari disertai lebih 150 orang.

"Program ini perlu dikembangkan dari masa ke masa supaya umat Islam dapat meluangkan masa membaca al-Quran dan beriktikaf dalam masjid," kata Mohamad Isa sambil menambah pihak masjid turut menganjurkan majlis berbuka puasa hari ini sempena hari wukuf di Arafah.

Di TERENGGANU, majlis berlangsung antara lain di Hotel Permai anjuran hotel tersebut dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

Di PUTRAJAYA, kira-kira 7,000 umat Islam menyertai majlis yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang bermula 4.15 pagi dengan qiamulail, sahur, solat subuh jemaah dan kuliah subuh sebelum solat sunat dhuha dan bacaan al-Quran pada 9 pagi.

Di PERLIS, 60 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang tidak pulang ke kampung sempena Aidiladha menyertai program penghayatan al-Quran di kampus universiti itu di Pauh, Arau.

Pegawai Hal Ehwal Agama Pusat Islam UniMAP, Muhammad Adib Hassan berkata program itu akan dihidupkan oleh warga kampus sehingga petang ini sebagai mengambil fadilat waktu wukuf di Arafah.

Di SARAWAK, program bacaan al-Quran disertai kira-kira 1,700 orang di Masjid Darul Hana dan Ooha Chill Donut Boat Tebingan Sungai Kuching serta Universiti Malaysia Sarawak di Kota Samarahan.

Koordinator program bagi Sarawak, Nasruddin Mohamad berkata lokasi Ooha Chill Donut Boat dipilih bagi membawa mesej bahawa al-Quran boleh dibaca dan dihayati tanpa mengira tempat dan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Di MELAKA, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin bersama kira-kira 200 orang menyertai program itu yang diadakan di Masjid As-Salam, Kampung Air Hitam Darat, Masjid Tanah, Alor Gajah.

Mas Ermieyati berkata program seumpama itu bukan sahaja dapat memberi ketenangan rohani, malah memainkan peranan penting merapatkan saf umat Islam di seluruh dunia.-- Bernama 





Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain