suria

Kes Tembak: Tiga Suspek Ditahan Di Kota Baru

KOTA BARU: Tiga suspek yang terbabit dalam kes tembak  di sebuah kedai makan di Jalan Pasir Hor, Bunut Payong di sini bulan lalu ditahan minggu lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata suspek yang berusia sekitar 20-an ditahan di sebuah stesen minyak di Grik, Perak pada 7 September lepas.

Beliau berkata suspek dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kelantan selepas bersembunyi di luar Kelantan.

"Suspek diberkas susulan penahanan seorang lelaki pada 28 Ogos yang  mengaku membawa ketiga-tiga suspek ke Perak.

"Berikutan itu polis Kelantan mengatur gerakan bersama pihak Bukit Aman dan polis Perak bagi mengesan ketiga-tiga suspek yang akhirnya berjaya ditahan di  di Grik," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, Ahad.

Dalam kes tembakan pada 23 Ogos itu, seorang lelaki cedera di betis selepas terkena tembakan rambang yang dilepaskan seorang lelaki di sebuah kedai makan yang terdapat kira-kira 20 orang pelanggan.

Lelaki yang melepaskan tembakan itu bersama dua lagi lelaki dilapor menaiki kereta Mercedes Benz.

Ab Rahman berkata ketiga-tiga suspek didapati mempunyai tali persaudaraan.

Dalam kes itu, mereka didapati menggunakan sepucuk pistol jenis Revolver yang disewa daripada seorang warga Thai.

"Pistol itu ditemui bersama tiga butir peluru yang disembunyikan di satu kawasan hutan di Tumpat," katanya.

Beliau berkata suspek menyasarkan seorang individu yang dikenali sebagai 'Piji Buta' namun motif mereka belum diketahui.

Pihak polis kini meminta Piji Buta agar tampil membantu siasatan.-- Bernama


Bunut Payong, Ab Rahman Ismail

Artikel Lain