suria

Fama Pertimbang Buka Pasar Tani Di Stesen KTMB

Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak (dua, kiri) bersama Presiden KTMB Datuk Sarbini Tijan (tiga, kanan) melawat gerai jualan durian musang king selepas melancarkan Pesta Jualan Buah-Buahan Tempatan, Produk Asas Tani dan Jualan Makanan & Minuman Panas di Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini kawasan perumahan menjadi pilihan untuk tapak pasar tani, kini stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilihat sebagai lokasi strategik untuk operasi jualan berkenaan.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Datuk Ahmad Ishak pada Jumaat.

Katanya, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan KTMB mencecah 60 juta setiap tahun meletakkan stesen kereta api menjadi tapak sesuai untuk menjalankan operasi pasar tani.

"Stesen KTMB dilihat mampu menjadi lokasi strategik kepada pengusaha pasar tani dan saya bercadang untuk meletakkan produk berbeza di setiap stesen," katanya ketika majlis perasmian Pesta Jualan Buah-buahan Tempatan, Produk Asas Tani Dan Jualan Makanan dan Minuman Panas di Stesen KTMB di ibu negara.

Majlis perasmian program itu dilakukan Ahmad bersama Presiden KTMB, Datuk Sarbini Tijan.

Program hasil kerjasama strategik KTMB dan Fama ini susulan sambutan memberangsangkan di pasar tani Kuarters KTMB, Bangsar pada setiap Sabtu.

Sementara itu, kata Sarbini, selain produk pertanian, pelbagai aktiviti menarik termasuk jualan menggunakan trak makanan, karavan, selain produk usahawan tempatan.

Katanya, antara buah-buahan yang dijual termasuk durian, rambutan, pulasan dan dokong yang ditawarkan pada harga berpatutan.

"Buat masa ini, KTMB dan Fama bersetuju untuk mengadakan aktiviti tersebut sebulan sekali di Stesen KTMB Kuala Lumpur.

"Jika mendapat sambutan yang baik, kami akan mempertimbangkan untuk mengadakan program ini dengan lebih kerap," katanya.



KTMB, Fama, Ahmad Ishak, Sarbini Tijan

Artikel Lain