suria

Edisi Sulung Lensa mStar Bersiaran Petang Ini

Tiga peneraju utama yang bertanggungjawab mengendalikan Lensa mStar secara bergilir.

PETALING JAYA: Selepas sedekad menyajikan pelbagai berita dalam dan luar negara menerusi portal mStar Online, kini diperkenalkan Lensa mStar dalam usaha mengangkat kepentingan dunia digital menerusi pendekatan visual di dalam bahasa Malaysia.

Pengisian dalam segmen ini meliputi perkembangan berita dan hal ehwal semasa seperti jenayah, mahkamah, politik, perkembangan luar negara dan laporan khas.

Tidak ketinggalan dari semasa ke semasa dipaparkan perkembangan sukan dan hiburan.


Lensa dipilih kerana ia adalah simbol kepentingan objek dalam sesebuah kamera yang diumpamakan seperti mata bagi merakamkan segala perspektif dan situasi sekeliling sebelum ia dilaporkan kepada umum.

Lensa mStar menampilkan informasi segar bersesuaian dengan tuntutan generasi hari ini yang mahu mendapatkan maklumat bervisual lebih ringkas, padat dan terkini.

Lebih menarik, paparan berita disampaikan oleh personaliti yang dilatih khas dengan corak penyampaian berbeza dan segar sesuai bagi pelayar-pelayar internet.

Tiga peneraju utama yang bertanggungjawab mengendalikan Lensa mStar secara bergilir ialah Ariffudin Ishak, Azlina Mazli dan Amelia Abu Bakar.

Segmen ini keudara pada setiap Isnin sehingga Jumaat bermula pukul 4.30 petang yang ia boleh ditonton menerusi portal mStar Online dan juga thestartv.com iaitu http://www.thestartv.com

Bagaimanapun segmen ini tidak diterbitkan pada cuti umum.

Pengenalan Lensa mStar ialah sebagai nilai tambah buat pembaca selepas portal ini meraih kejayaan dengan menerima pingat gangsa pada Anugerah Media Digital Asia bagi kategori Gaya Hidup Terbaik di Hong Kong pada November tahun lalu.

Selain itu mStar juga memenangi pingat perak  Anugerah Spark 2016 untuk kecemerlangan media Asia Pasifik di bawah kategori Acara Terbaik Oleh Pemilik Media yang berlangsung di Singapura pada  Ogos lalu.

Kemenangan itu diraih berdasarkan kejayaan penganjuran Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) pada 30 April lalu yang disiarkan secara langsung menerusi TV2.

Sebarang maklum balas mengenai segemen baharu ini boleh dikongsi menerusi e-mel [email protected]
Lensa mStar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain