suria

Sikap Acuh Tak Acuh Rakyat Malaysia Tidak Bantu Perangi Aedes

PETALING JAYA: Hampir setiap hari, pasti ada seseorang yang meninggal akibat demam denggi.

Kini, jangkitan virus Zika di dalam negara menyerlahkan lagi bahaya nyamuk Aedes. Malangnya rakyat Malaysia seolah-olah tidak peduli.

Lebih buruk, pemilik kediaman juga enggan membenarkan pegawai kesihatan untuk memeriksa dan melakukan semburan asap yang sepatutnya.

Pihak berkuasa tempatan di Kota Kinabalu dipaksa mendapatkan perintah mahkamah untuk memasuki rumah kediaman dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai berkata pegawai-pegawainya tidak mempunyai pilihan selain menggunakan perintah mahkamah untuk masuk ke dalam premis dan melakukan pemeriksaan.

"Kami sedang mendapatkan perintah mahkamah untuk memasuki premis di mana pemilik atau pengurusan apartment enggan membenarkan kami melakukan pemeriksaan," katanya.

Pegawainya, kata Yeo perlu menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi mengesan tempat pembiakan nyamuk di sekitar Apartment Taman Public Jaya di mana seorang lelaki berusia 61 tahun yang disahkan positif Zika di Sabah meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 3 September lalu.

"Kami mahu memerangi kawasan pembiakan nyamuk di seluruh bandar ini. Kami akan bertindak tegas dan mengenakan kompaun maksimum RM500 jika terdapat mana-mana premis didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk," katanya kepada pemberita selepas melawat apartment tersebut.

Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan Undang-Undang Kecil Anti Sampah 2005 akan turut dikuatkuasakan, kata Yeo.

Pihak berkuasa kesihatan sudah memeriksa darah dan sampel air kencing 10 individu yang berhubung secara langsung dengan pesakit yang telah meninggal dunia.

Kesemua mereka disahkan negatif virus tersebut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi berkata sejak pengesanan kes Zika pertama tempatan berkenaan pada 3 September lalu, pihaknya telah mengambil langkah kawalan dan pencegahan sekitar 400 meter radius dari rumah kes bagi mengelak penularan jangkitan ke kawasan lain.

Dr Rundi menekankan demam denggi kekal risiko utama kesihatan di Sabah dengan kira-kira 2,516 kes dilaporkan setakat ini, peningkatan sebanyak 685 kes dari 2015.

Seorang wanita berusia 58 tahun dari Ambang Botanic disahkan positif virus Zika pada Rabu lalu selepas melawat anak perempuannya di Singapura pada 19 Ogos lalu.

Anak perempuannya disahkan dijangkiti virus itu pada 30 Ogos dan mangsa pertama di republik itu.

Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK) Norfiza Mahfiz berkata segala langkah yang sewajarnya sudah diambil untuk mengekang penularan jangkitan virus itu.

"Jabatan Kesihatan Daerah Klang dan MPK sedang mengesan semua lokasi yang dikunjungi mangsa," katanya.

Artikel Lain