suria

Dua Beradik Naik Belon Udara Panas Jelajah Semenanjung

KUALA LUMPUR: Jangan terkejut jika anda melihat belon udara panas berlegar-legar di pelbagai lokasi seluruh Semenanjung dalam tempoh 60 hari sehingga Oktober ini.

Tambah mengujakan apabila ia dikendalikan dua wanita yang dikenali sebagai juruterbang belon udara panas di negara ini, Izzati Khairudin, 27 dan kakaknya, Atiqah.

Minat mendalam terhadap aktiviti itu mendorong dua beradik itu merancang ekspedisi sulung menjelajah sekeliling Semenanjung dengan matlamat untuk memberi kesedaran kepada belia mengenai kewujudan pengangkutan udara itu.


Pelancaran di SMK Putrajaya Presint 9 (2).

Perjalanan mereka bermula di Putrajaya dan kini berada di lokasi kedua iaitu Terengganu sebelum meneruskan penerbangan menawan ruang udara Pahang, Perak, Kelantan, Perlis, Kedah, Johor dan terakhir di Melaka.

“Jika ia hari yang baik untuk bermain layang-layang, maka ia tidak sesuai untuk menaiki belon udara,” kata Izzati sambil menegaskan faktor cuaca memainkan peranan penting.

Menyingkap zaman kanak-kanak, katanya, ramai rakan mereka berminat menjadi juruterbang selepas melihat belon udara panas.

Izzati dan Atiqah telah didedahkan oleh ibubapa mereka mengenai aktiviti ini pada usia muda dan kini mahu berkongsi pengalaman bersama pelajar di setiap negeri yang mereka kunjungi.


Mendarat di Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu.

Selain mengadakan bengkel untuk pelajar, mereka akan menjemput ‘hero tempatan’ untuk merasai pengalaman menaiki belon udara sambil menemu bual mereka secara langsung.

‘Hero tempatan’ adalah wakil negeri yang dipilih  merangkumi usahawan mahupun bakat muda yang akan berkongsi pengalaman serta kejayaan mereka sepanjang perjalanan.

Untuk ketahui lebih lanjut mengenai ekspidisi ini, layari www.lifeonair.asia dan #LifeOnAirMY di Facebook dan Twitter. Siaran langsung di Youtube dan Snapchat, @LifeOnAir.

Belon Udara Panas, #LifeOnAirMY

Artikel Berikut

Artikel Lain