suria

Penolong Pegawai, Renjer Jabatan Perhutanan Cedera Dipukul Ketika Meronda

SANDAKAN: Dua kakitangan Jabatan Perhutanan Kota Belud cedera selepas dipukul oleh tiga lelaki ketika melakukan rondaan membanteras kegiatan mencuri kayu bantalan atau terubah di kawasan Hutan Simpan berhampiran Kampung Suang Punggur, Kota Belud pada Sabtu lepas.

Penolong Pegawai Perhutanan Rosmin Suhod dan Renjer Hutan Ruslan Ayai cedera ditangan, kaki, paha dan punggung akibat dipukul menggunakan rotan dan kayu oleh tiga lelaki dipercayai dari Kampung Suang Punggur.

Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) Datuk Sam Manan berkata kejadian berlaku pada jam 12.20 tengah hari, kedua-dua kakitangannya itu terpaksa melarikan diri ke kawasan hutan untuk bersembunyi sementara menunggu bantuan.

Katanya seorang lagi kakitangan jabatan itu Mohd Nazriee Abdullaid yang menunggu di kereta turut didatangi oleh sekumpulan lelaki menggunakan kereta Perodua Viva berwarna hitam dan motosikal Honda EX5 berwarna coklat bersenjatakan rotan dan parang lalu mengarahkannya meninggalkan kawasan itu serta mengancam untuk membakar kereta dipandunya itu.

Menurutnya Mohd Nazriee terpaksa meninggalkan kawasan itu dan meminta bantuan di Balai Polis Kota Belud dan kakitangan Jabatan Perhutanan di Pejabat Kota Belud.

Dengan bantuan 11 kakitangan JPS Kota Belud dan lapan anggota polis ke lokasi tempat kejadian, Rosmin dan Ruslan yang bersembunyi telah diselamatkan, katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Sam berkata turut membantu ialah sebuah ambulans daripada Hospital Kota Belud bersama seorang doktor dan tiga pembantu perubatan merawat Rosmin dan Ruslan yang cedera akibat serangan itu.

Katanya kumpulan lelaki dari Kampung Suang Punggur yang dipercayai terlibat merupakan kumpulan yang melakukan jenayah hutan melibatkan pengambilan kayu bantalan secara haram di hutan simpan sekitar kawasan kampung berkenaan.

Menurutnya sebelum itu, sejumlah 83 kayu bantalan telah disita di kawasan tempat kejadian dan telah dipindahkan ke lokasi yang selamat sebagai barang ekshibit.

Beliau berkata ketika melaksanakan pemindahan kayu terubah itu mereka mendapati ada pokok direbahkan ke jalan raya bagi menghalang laluan di kawasan tempat kejadian tetapi tiada individu atau kumpulan yang muncul.

Sam berkata pada 29 Julai lepas, pihaknya telah menangkap empat lelaki disyaki menebang dua batang pokok dalam kawasan Hutan Simpan Abai (Kelas V) dalam daerah Kota Belud.

Kemungkinan kejadian yang berlaku adalah disebabkan rasa marah dan dendam terhadap kakitangan Jabatan Perhutanan yang telah menangkap empat lelaki itu, katanya.

Beliau berkata kes seumpama itu pernah berlaku iaitu serangan pemburu haram terhadap Pegawai Perhutanan Daerah di Ulu Segama Malua, Lahad Datu pada 2 April 2009, serangan terhadap Pos Kawalan Stesen Pemeriksaan Hutan, Jalan Silam Lahad Datu pada 9 Julai 2014 dengan tembakan.

Kejadian yang terbaharu ialah serangan orang Kampung Sugut di Beluran terhadap pegawai dan anggota penguatkuasa Jabatan Perhutanan Sabah pada 14 Ogos 2015. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

UTD Pantau Lokasi 'Panas' Aedes

Artikel Lain