suria

Pengerusi Bank Rakyat Didakwa Subahat Pecah Amanah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Abdul Aziz Zainal didakwa bersubahat dengan Pengarah Urusan bank tersebut, Datuk Mustafha Abd Razak melakukan pecah amanah berhubung kes penyelewengan penerbitan buku bernilai RM15 juta.

Mustafha menghadapi pertuduhan pecah amanah (CBT) melibatkan perbelanjaan pemasaran berjumlah RM14, 991,293.

Kedua-dua tertuduh tiba di Mahkamah Sesyen kira-kira pukul 9.45 pagi ditemani peguam dan ahli keluarga mereka.

Mustafha didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan manakala Abdul Aziz didakwa mengikut Sesyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 409 kanun yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Abdul Aziz diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Mustafha diwakili peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Bahagian Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Masri Mohd Daud.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM400,000  setiap seorang dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 10 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan  permohonan pihak pendakwaan supaya kedua-dua tertuduh dibicarakan secara bersama kerana ia membabitkan jumlah transaksi yang sama.

Terdahulu, Masri mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM2 juta bagi setiap  tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport  kepada mahkamah kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius iaitu melibatkan  institusi kewangan.

Muhammad Shafee dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana ia tidak relevan dengan kesalahan pecah amanah yang dilakukan oleh anak  guamnya.

Beliau berkata, Abdul Aziz yang mempunyai empat orang anak pernah berkhidmat dalam pasukan keselamatan dan memegang jawatan tertinggi serta pernah mendapat  pelbagai anugerah ketika dalam perkhidmatan.

Sementara itu, Kamarul Hisham dalam rayuan juga memohon jumlah jaminan yang  rendah kerana anak guamnya telah lama berkhidmat dengan Bank Rakyat, telah berkeluarga, mempunyai empat orang anak berusia antara 23 tahun hingga 7 tahun serta warga negara Malaysia dan mustahil untuknya melarikan diri.

Bagaimanapun, Masri berhujah bahawa tidak semestinya orang yang mempunyai latar belakang baik serta memperolehi pelbagai anugerah tidak akan melarikan diri dan kesalahan yang dilakukan membabitkan orang nombor satu dan dua dalam Bank Rakyat.

Hakim juga membenarkan permohonan Muhammad Shafee untuk menangguhkan bayaran jaminan anak guamnya sehingga pukul 3 petang Khamis kerana jumlah wang jaminan yang disediakan belum mencukupi.

pecah amanah, Bank Rakyat

Artikel Berikut

Artikel Lain