suria

KDN Diminta Segerakan Insentif Penguatkuasa Imigresen

PORT DICKSON: Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta menyegerakan pembayaran insentif penguatkuasa RM200 sebulan kepada pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia yang bertugas di lapangan dan depot imigresen.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kerajaan sebelum ini telah meluluskan bayaran insentif penguatkuasa kepada pegawai penguatkuasa imigresen yang layak. 

"Pegawai penguatkuasa yang terlibat ialah Penguasa Imigresen, Penolong Penguasa Imigresen dan Pegawai Imigresen gred 54 ke bawah yang menjalankan tugas penguatkuasaan di lapangan dan depot imigresen...saya telah minta KDN dan Jabatan Imigresen supaya segera laksanakannya dengan diketuai bajet daripada KDN. 

Pemberian insentif ini merupakan keputusan kerajaan dalam memenuhi tuntutan kesatuan imiresen agar pegawai-pegawai imigresen diperuntukkan bayaran insentif penguatkuasa seperti yang dinikmati beberapa agensi penguatkuasaan lain," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai Imigresen Gred KP19 siri 2/2016 di sini, Sabtu.Ali berkata kira-kira 4,000 pegawai penguatkuasa imigresen di seluruh negara akan menerima manfaat ini. 

"Pemberian elaun ini juga diharap dapat meningkatkan hasil daripada kementerian dan jabatan kerana imigresen mempunyai potensi tinggi untuk tingkatkan hasil antaranya melalui kompaun dan sebagainya yang mana ia juga sekali gus dapat mendisiplinkan pengguna.

Bukan sahaja imigresen namun semua kementerian dan jabatan kerajaan memikirkan kaedah Strategi Lautan Biru bagaimana untuk sumbangkan hasil kepada negara sama ada cari sumber hasil baharu atau kurangkan kos keseluruhannya," katanya. 

Selain itu, Ali berkata Pegawai Jabatan Imigresen diberi peluang memegang jawatan pengarah di peringkat negeri yang sebelum ini dipegang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD). 

"Untuk kebajikan penjawat awam Jabatan Imigresen kalau selama ini kita lihat pengarah negeri ada jawatan-jawatan tertentu dipegang oleh PTD maka sekarang kalau ada pegawai Imigresen yang berkelayakan dari Skim KP (Skim Perkhidmatan Pegawai Keselamatan) ini juga layak menjadi pengarah di peringkat negeri.

"Kita akan mulakan proses ini dan KDN serta Jabatan Imigresen akan syorkan nama pegawai yang sesuai untuk menerajui di peringkat negeri," katanya. 

Dalam perkembangan lain, mengenai cadangan waktu bekerja selama enam jam seperti yang dilaporkan sebuah media elektronik baru-baru ini, Ali berkata kerajaan akan mengkaji mengenai keperluannya. 

"Kita akan melihat dan mengkaji mengenainya...sekarang kalau kita lihat di UTC dan beberapa agensi tertentu khususnya yang ada giliran 14 jam tetapi kita dah bahagikan kepada dua iaitu tujuh jam, jadi kita perlu lihat mengapa perlu enam ini. Selain itu ada juga cadangan bekerja di rumah untuk skim tertentu, ini juga kita akan kaji," katanya. 

Terdahulu, Ali dalam ucapannya berkata melalui Bajet 2016 di bawah Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Jabatan Imigresen Malaysia juga diperuntukan sebanyak RM36 juta bagi membina pejabat, kuarters dan menaik taraf depot tahanan imigresen di seluruh negara. 

"Untuk makluman juga penjawat awam dari Jabatan Imigresen juga akan diberi keutamaan dari segi perumahan dalam Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia bagi mereka yang memohon rumah pada harga yang berpatutan," katanya. 

Pada majlis itu, sejumlah 200 pegawai Imigresen telah menamatkan sesi latihan mereka.--Bernama

Tan Sri Dr Ali Hamsa

Artikel Lain