suria

"Saya Lihat Bas Langgar Pembahagi Jalan Sebelum Terbalik" - Mangsa

BENTONG: Keriangan sebuah keluarga Singapura bercuti di pusat peranginan di Genting Highlands bertukar tragedi apabila bas persiaran dua tingkat yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Km31.3, Lebuh Raya KL-Karak, dekat Bukit Tinggi, di sini petang Rabu.

Seorang anggota keluarga itu yang hanya mahu dikenali sebagai Naven, 19, berkata, dia bersama ibu bapa dan kakaknya menaiki bas berkenaan di pusat peranginan itu kira-kira pukul 3.45 petang untuk pulang ke Singapura.

Mereka berada di Malaysia sejak Ahad lepas.

"Dalam perjalanan saya tertidur, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi hentaman kuat. Saya lihat bas melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik.

"Akibat kemalangan itu, kakak dan ayah saya cedera parah di beberapa bahagian anggota badan antaranya kepala," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Jabatan Kecemasan Hospital Bentong di sini, malam Rabu.

Menurut Naven yang hanya cedera ringan, ayah dan kakaknya akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan lanjut kerana mereka cedera agak parah.

Naven yang bekerja sebagai anggota Bomba dan Penyelamat Singapura berkata ibunya hanya mengalami cedera ringan di tangan dan kaki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata polis masih menyiasat punca kejadian.

"Ketika kejadian, keadaan jalan kering serta cuaca elok dan difahamkan bas berkenaan tidak dipandu laju.

"Namun, kita akan melihat sama ada kemalangan ini berpunca dari kecuaian manusia ataupun masalah teknikal yang dihadapi bas terbabit," katanya.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian pada 9.30 malam Rabu mendapati bas berkenaan telah dialihkan ke lorong kecemasan, namun trafik yang datang dari arah Bukit Tinggi menuju ke Plaza Tol Gombak masih bergerak perlahan.


Dalam kejadian 4.17 petang, bas persiaran tempatan itu membawa 12 pelancong warga Singapura.

Mangsa-mangsa yang cedera, berserta pemandu bas dan pembantunya, dihantar ke empat hospital berasingan - Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Bentong dan Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

Artikel Lain