suria

Jerebu Bertambah Baik, Tiada Kawasan Rekod IPU Tidak Sihat

Kualiti udara bertambah baik susulan hujan pada pagi Selasa.- foto M. Azhar Arif/The Star

KUALA LUMPUR: Kualiti udara di seluruh negara semakin bertambah baik apabila tiada kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 4 petang Selasa.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, sebanyak 23 kawasan merekodkan IPU sederhana dengan bacaan tertinggi direkodkan di Nilai iaitu 97 berbanding 101 pada pukul 3 petang Selasa.

Kawasan yang lain mencatatkan IPU sederhana adalah Banting, Selangor (88), Putrajaya (86), Shah Alam, Selangor (84), Tanjung Malim, Perak (81), Batu Muda dan Cheras di Wilayah Persekutuan masing-masing mencatatkan 77.

Pelabuhan Klang, Selangor pula merekodkan bacaan IPU 76, diikuti Petaling Jaya (72), Miri, Sarawak (58) manakala Paka, Terengganu dan Jerantut, Pahang masing-masing merekodkan bacaan 57.

Ia berbeza jika dibandingkan pada pagi ini apabila empat kawasan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat pada pukul 9 pagi Selasa.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas, bahaya.

Untuk IPU, orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my. - BERNAMA


kualiti udara, IPU, jerebu

Artikel Lain