suria

Budak Dua Tahun Meninggal Dunia Dipercayai Didera

Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh anggota keluarganya di kediaman mereka di Paka, Isnin.

Mangsa dipercayai meninggal dunia beberapa jam selepas kakak dan abang iparnya membawanya ke Klinik Kesihatan Paka pada pukul 3 petang.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, kanak-kanak tersebut tinggal bersama kakak dan abang iparnya di Paka kerana ibu dan bapa mereka bekerja di Kuala Lumpur.

Difahamkan ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan tersebut, pegawai perubatan menemui beberapa kesan lebam pada anggota badan dan kaki mangsa.

Susulan itu pegawai perubatan berkenaan membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

Ahmad Zailani berkata ekoran itu pihaknya telah menahan pasangan suami isteri berusia 21 tahun itu di Unit Forensik Hospital Dungun malam Isnin, untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

budak perempuan, maut, didera

Artikel Lain