suria

Axiata Pertahan Pelantikan CEO Baharu Bukan Bumiputera

Michael Kuehner.

PETALING JAYA: Axiata Group Berhad (Axiata) mempertahankan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif baharu Celcom, Michael Kuehner meskipun terdapat bantahan berhubung pemilihan warga asing untuk menerajui syarikat telekomunikasi itu.

Menjelaskan kedudukannya berhubung perkara itu, Axiata berkata syarikat itu telah melantik empat individu dalam pasukan kepimpinan yang terdiri daripada tiga calon bumiputera untuk menyokong dan membantu Kuehner menerajui pertumbuhan Celcom pada fasa seterusnya.

Tiga individu yang lain itu terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Celcom (Exco) Tan Sri Jamaludin Ibrahim; Azwan Khan Osman Khan dan Mohamed Adlan Tajudin masing-masing merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat tersebut.

"Untuk memastikan bumiputera dan agenda nasionalnya kekal kukuh dan menjamin kecemerlangan transformasi perniagaan, Exco Celcom akan bertemu lebih kerap berbanding lembaga pengarah.

"Pasukan ini akan terus disokong oleh seorang Ketua Pegawai Modal Insan bumiputera yang baharu. Pada masa sama, kami juga menaikkan pangkat seorang warga Malaysia sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) untuk mengambil alih jawatan itu daripada seorang CFO ekspatriat," kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Reaksi Axiata itu merujuk kepada kenyataan Ketua Umno Bahagian Klang, Datuk Nasaruddin M. Zin yang berkata dalam mesyuarat bahagian baru-baru ini bahawa kedudukan CEO dalam Celcom perlu diberikan kepada orang Melayu atau rakyat Malaysia.

Datuk Seri Shazalli Ramly yang juga CEO sedia ada dinaikkan pangkat kepada Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Asia Tenggara bermula 1 September ini.

Axiata berkata pelantikan CEO dirancang sebagai langkah jangka pendek dengan tujuan untuk mempersiapkan pengganti bumiputera di kalangan bakat sedia yang sedang dibangunkan syarikat itu.

Syarikat itu turut mempertahankan kelayakan Kuehner dengan berkata beliau amat dihormati kerana pemahamannya terhadap aspirasi dan sensitiviti Malaysia kerana pernah bekerja di sini sejak 15 tahun lalu.

"Sebagai seorang yang profesional, Michael adalah ahli lama Axiata Group dan komited terhadap objektif komersial dan kebangsaan Celcom," katanya.

Celcom merupakan sebahagian daripada anak syarikat Axiata Group Berhad.

Artikel Lain