SEORANG penduduk Orang Asli ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai diserang harimau belang ketika mencari rotan di kawasan Hutan Simpan Korbu, Sungai Siput, Perak.Mangsa, Zamberi Angah, dilaporkan keluar mencari rotan bersama seorang rakannya sebelum kejadian di Kampung Takung, Pos Perwor pada Isnin. Ahli Dewan Undangan Negeri Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerima aduan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.30 petang.Menurutnya, pasukan Perhilitan kemudian bergegas ke lokasi sebelum bertemu dengan anak mangsa."Operasi pencarian bersama bermula pada pukul 6.30 petang melibatkan Perhilitan, anggota Balai Polis Lintang, RELA, kira-kira 30 penduduk kampung serta pekerja balak."Pada pukul 6.58 petang, mangsa ditemukan di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak, kira-kira 200 meter dari lokasi dipercayai berlakunya serangan," katanya menerusi perkongsian di Facebook.Mohd Zolkafly berkata, kesan tapak kaki harimau belang serta beberapa petunjuk lain turut ditemukan di sekitar lokasi berkenaan.Dalam pada itu, beliau memaklumkan Perhilitan akan membantu waris mendapatkan Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar.Selain itu, khidmat nasihat keselamatan turut diberikan kepada penduduk, manakala perangkap harimau belang dijangka dipasang dalam masa terdekat."Saya berharap tindakan pemantauan serta kawalan dapat dilaksanakan dengan segera demi menjamin keselamatan penduduk, khususnya masyarakat Orang Asli yang bergantung kepada hasil hutan untuk meneruskan kehidupan," katanya.