suria

Kes Terbaru Difteria Di Perak Libatkan Kanak-Kanak Empat Tahun

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
KUALA LUMPUR: Satu lagi kes terbaru difteria dilaporkan berlaku di Perak melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Jabatan Kesihatan Perak mengesahkan kes itu pada dua hari lepas (25 Ogos) selepas kanak-kanak itu mendapatkan rawatan di Hospital Taiping pada 17 Ogos kerana mengalami demam, batuk dan sakit tekak sejak 12 Ogos.

"Kanak-kanak ini hanya mengalami gejala yang ringan tanpa komplikasi kerana telah mendapat imunisasi difteria yang lengkap. Kanak-kanak ini hanya diberikan rawatan antibiotik dan tanpa rawatan antitoksin dan kini beransur sembuh," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Beliau berkata setakat ini, tujuh anggota keluarga yang tinggal serumah dengan kanak-kanak itu berada dalam keadaan sihat dan telah diberi rawatan profilaksis.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini, sebanyak 28 kes difteria termasuk lima kes kematian dilaporkan berlaku di Malaysia.

"Bilangan kes disahkan difteria di Malaysia setakat ini meningkat kepada 28 kes termasuk lima kematian iaitu sembilan kes di Kedah dengan satu kematian, tujuh kes di Negeri Sembilan, lima kes di Sabah dengan tiga kematian, tiga kes di Melaka dengan satu kematian, dua kes di Pulau Pinang dan masing-masing satu kes di Selangor dan Perak," katanya.

Kementerian ingin menegaskan bahawa imunisasi yang lengkap mampu mencegah jangkitan dan sekiranya dijangkiti, gejala adalah ringan dan tiada komplikasi, katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata kes demam denggi di seluruh negara meningkat dalam tempoh dua minggu lepas dengan purata mingguan 1,900 hingga 2,000 kes.

"Jumlah kes demam denggi sejak Januari hingga 20 Ogos tahun ini adalah 71,590 dengan 162 kematian," katanya.

Artikel Lain