suria

70 Pelajar Keracunan Makanan Disyaki Berpunca Daripada Kari Telur

- Gambar hiasan
IPOH: Sebanyak 49 pelajar lelaki dan 21 pelajar perempuan Sekolah Menengah Poi Lam (SUWA) Lahat, di sini mengalami keracunan makanan disyaki berpunca daripada kari telur di dapur asrama sekolah berkenaan pada Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Datuk Dr Juita Ghazalie berkata maklumat awal diterima pada 7 malam Khamis lalu selepas pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun itu mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, demam, muntah, pening dan loya.

Beliau berkata seorang daripada ibu pelajar sekolah itu membuat laporan kepada Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan Daerah pada pukul 11.51 pagi semalam sebelum siasatan dijalankan sejurus selepas itu.

"Beberapa sampel seperti perkakas masakan dan makanan telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia. Keputusan masih belum diterima dan mengambil masa selama tiga hingga lima hari," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Katanya kesemua pelajar dirawat di lima buah klinik swasta, seorang daripada mereka masih berada di sebuah hospital dan dijangka dibenarkan pulang hari ini.

Dr Juita berkata hasil siasatan mendapati empat daripada enam pekerja dii dapur asrama itu tidak mendapatkan suntikan kepialu.

"Malah empat daripada enam pekerja itu juga tidak menghadiri kursus pengendali makanan. Pihak kami juga mendapati 'chiller' tidak menepati suhu iaitu 13 darjah celsius semasa diperiksa sedangkan suhu standard 'chiller' adalah 4 darjah celsius, katanya.

Beliau berkata pengendali makanan juga didapati menyimpan bahan pencuci bersama-sama dengan bahan makanan di rak penyimpanan makanan.

Sehubungan itu, Dr Juita berkata Jabatan Kesihatan negeri mengarahkan dapur asrama itu ditutup serta-merta di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Notis kompaun RM1,000 telah dikeluarkan di bawah Akta Makanan 1983 mengikut peraturan (11) Kebersihan Makanan 2009," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut memberi penerangan tentang pendidikan kesihatan kepada pesakit, penyelia asrama dan pengendali makanan.

Pada 17 Ogos lalu, 56 pelajar lelaki Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mengalami keracunan makanan selepas menikmati hidangan di dewan makan kolej itu.

Selang empat hari selepas itu (20 Ogos), 52 pelajar lelaki Kolej Matrikulasi Gopeng mengalami keracunan makanan selepas menikmati masakan berasaskan ayam di kafeteria lelaki kolej itu.

Pada Rabu lepas, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan kes keracunan makanan dan memandang serius kekerapan kejadian itu di kantin atau dewan makan asrama sekolah di Perak sejak kebelakangan ini.

Artikel Lain