suria

Penderaan Seksual Di Sekolah Agama: Ustaz Kazim Akan Buat Laporan Polis

Datuk Kazim Elias
IPOH: Sekolah agama di sini akan membuat beberapa laporan polis berhubung kes penderaan seksual melibatkan seorang pelajar berusia 10 tahun yang didakwa berlaku di asramanya di Manjoi.

Pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah Datuk Kazim Elias berkata sekolah itu dan mereka yang didakwa terlibat akan membuat laporan polis pada Sabtu.

"Kami tidak membuat laporan sebelum ini kerana nama sekolah ini tidak disebut.

"Tetapi sekarang ia telah pun diketahui, saya fikir kami perlu membersihkan nama kami," katanya kepada pemberita di sekolah itu, Jumaat.

"Dakwaan-dakwaan itu adalah serius dan kami akan bekerjasama dengan pihak polis," kata ustaz popular ini.

"Tidak akan ada kompromi terhadap mereka yang terlibat," katanya.

Dilaporkan bahawa ibu bapa kepada seorang pelajar mendakwa bahawa anak mereka telah didera secara seksual oleh pelajar lain. Dakwaan itu telah tersebar di media sosial.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, kenyataan telah diambil daripada 10 individu termasuk beberapa pelajar dan kakitangan.

Pada Selasa, aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi telah berkongsi posting di Facebook di mana ibu bapa mangsa mendakwa kejadian penderaan seksual berlaku di sekolah agama tersebut.

Kazim berkata pihak sekolah telah menyiasat perkara itu sebelum ia menjadi viral.

"Selepas menerima aduan daripada ibu bapa, kita menghubungi dan bertemu dengan mereka yang didakwa terlibat.

"Oleh kerana ini telah melibatkan reputasi sekolah, agama dan diri saya sendiri, saya perlu bertindak ke atasnya," katanya.

"Siasatan kami mendapati tiada kejadian liwat atau pencabulan seperti yang didakwa," katanya.

Kazim berkata beliau berharap orang ramai akan berhenti membuat andaian di media sosial dan membiarkan polis menjalankan siasatan.

"Apa yang dikatakan akan memberi persepsi negatif kepada sekolah dan diri saya sendiri.

"Saya akan berbincang dengan peguam saya mengenai tindakan seterusnya terhadap mereka yang menjadikan isu ini viral," katanya.

Artikel Lain