suria

Najib Tandatangani Buku Takziah Untuk Bekas Presiden Singapura

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangani buku takziah bekas Presiden Singapura, S R Nathan di Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura, Jumaat. Turut kelihatan, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon (kanan). -fotoTHESTAR/NorafifiEhsan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat menandatangani buku takziah di Suruhanjaya Tinggi Singapura di sini sebagai penghormatan kepada bekas Presiden Singapura S R Nathan yang meninggal dunia pada Isnin.

Ketibaan Najib di suruhanjaya itu pada kira-kira 8.30 pagi disambut Pesuruhjaya Tinggi Singapura Vanu Gopala Menon dan beliau meluangkan masa kira-kira 10 minit sebelum beredar daripada Suruhanjaya Tinggi itu.

Bercakap kepada pemberita, Najib yang mewakili pihak kerajaan dan rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang bekas presiden.

"Mendiang bekas presiden semasa beliau berkhidmat sebagai pesuruhjaya tinggi dan kemudiannya sebagai presiden Singapura telah banyak memainkan peranan dalam memperkukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Singapura.

"Untuk itu, kerajaan amat menghargai semua sumbangannya itu," kata Najib.

Nathan, 92, meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada 9.48 malam,  Isnin lepas.

Pada 31 Julai, Pejabat Perdana Menteri Singapura mengumumkan Nathan diserang angin ahmar dan keadaannya kritikal di unit penjagaan rapi di hospital itu.

Nathan yang dilantik sebagai pesuruhjaya tinggi Singapura ke Malaysia pada  1988 merupakan presiden Singapura yang paling lama berkhidmat dan menyandang jawatan itu selama dua penggal dari 1999 hingga 2011.

Beliau secara rasmi berundur sebagai presiden keenam pada 31 Ogos 2011 dan diganti oleh presiden sekarang Tony Tan Keng Yam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain