suria

Ravi Sasar Selesai Isu Gaji Pekerja, Tiket Pelanggan September Ini

PETALING JAYA: Pemilik Rayani Air, Ravi Alegandrran menjangkakan isu tunggakan gaji pekerja dan bayaran balik tiket pelanggan akan diselesaikan seawal-awalnya  September ini.

Bercakap kepada mStar Online, Ravi mendakwa beliau kini telah mendapat pelabur yang akan menyuntik dana dan seterusnya mengambil alih pengurusan syarikat penerbangan itu.

Beliau berkata, dana berkenaan antara lain akan disalurkan pada peringkat awal untuk bayaran tunggakan gaji pekerja dan bayaran balik tiket pelanggan, yang akan diuruskan pihak pelabur.

“Ia akan dibuat pada tempoh yang sama kita memohon semula lesen daripada pihak berkuasa bagi membolehkan syarikat kembali beroperasi di bawah pengurusan baharu.

“Kita menjangkakan permohonan lesen akan dibuat pada September. Mengikut perjanjian bersama pelabur, antara perkara awal yang harus diutamakan ialah menyelesaikan tunggakan gaji pekerja dan bayaran balik tiket pelanggan,” katanya.

Ravi enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai pelabur kerana katanya, maklumat berkaitan adalah sulit buat masa ini berikutan satu ‘perjanjian’ telah ditandatangani bersama pihak berkenaan dan peguam.

Bagaimanapun katanya, pihaknya bersama pelabur ketika ini sedang memperincikan senarai penerima dan jumlah bayaran terhadap pelanggan dan pekerja bagi melancarkan urusan bayaran.

"Segala dokumen hampir siap untuk kita memohon semula lesen baharu," ujar Ravi.

Dilaporkan, Ravi dipetik sebagai berkata, beliau optimis syarikat penerbangan itu akan beroperasi semula tidak lama lagi apabila permohonan semula lesen akan dibuat seawal-awalnya bulan depan.

Dalam pada itu, Ravi berterima kasih kepada Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi di atas saranannya supaya Rayani Air  mengemukakan permohonan baharu kepada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) jika berhasrat beroperasi semula.

“Saya berterima kasih dan menghargai saranan Datuk Ab Aziz kerana memberi peluang kepada Rayani Air untuk beroperasi semula menerusi permohonan lesen baharu.

“Kami berharap permohonan itu nanti akan mendapat jaminan kelulusan daripada kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Awal bulan ini, Ab Aziz berkata, selain memohon lesen baharu, Rayani Air juga juga perlu mengemukakan strategi perniagaan yang baharu dan mendapatkan rakan kongsi yang mempunyai dana mencukupi untuk menjalankan perniagaan.

Jun lalu, DCA membatalkan Sijil Operasi Udara (AOC) bagi Rayani Air selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.

Mavcom pula turut membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air selepas mendapati syarikat itumelanggar syarat yang ditetapkan di dalam ASL tersebut serta mempunyai kedudukan kewangan yang lemah untuk terus beroperasi.

Rayani Air memulakan operasi Disember tahun lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain