suria

Rakyat Malaysia Ke Rio Diminta Jalani Pemeriksaan Kesihatan - Dr Hilmi

Upacara penutupan Sukan Olimpik di Rio berlangsung dengan penuh gilang gemilang.

ALOR SETAR: Rakyat Malaysia yang berkunjung ke Brazil bagi menyaksikan temasya Sukan Olimpik 2016 perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sekiranya mengalami demam bagi mengesan jangkitan virus Zika dan demam kuning.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pihaknya melakukan pemantauan kesihatan ke atas atlet dan pegawai kontinjen negara, namun bimbang sekiranya berlaku keciciran dalam kalangan penyokong yang pergi ke negara itu.

"Para penyokong (kontinjen negara) yang mungkin pergi ke Brazil melalui negara-negara lain, apabila mereka pulang ke Malaysia, kena dapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengalami demam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Kolej Pembantu Perubatan Alor Setar di sini, Khamis.

Sebanyak 600 pelajar terlibat dalam program itu iaitu mengecat semula kolej berkenaan dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pejabat Parol Jabatan Penjara Kedah. 

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan terus melaksanakan langkah pencegahan yang sewajarnya dalam usaha mencegah kemasukan demam kuning dan virus zika ke Malaysia.

Dalam pada itu, Dr Hilmi menasihatkan ibu bapa yang menolak imunisasi untuk anak mereka supaya mendapatkan imunisasi lengkap bagi anak-anak mereka sebagai perlindungan terhadap penyakit cegahan vaksin.

"Ini merupakan satu penganiayaan terhadap anak-anak sedangkan ibu bapa sihat kerana dahulu mendapat imunisasi," katanya.

Setakat 26 Julai lepas, sebanyak 25 kes difteria dengan lima kematian direkodkan di negara ini dengan kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti penyakit itu didapati tidak mendapatkan imunisasi lengkap.

Sementara itu, Dr Hilmi berkata program NBOS di ILKKM mampu mengurangkan perbelanjaan dan tadbir urus sehingga 70 peratus berbanding kos bayaran terhadap syarikat kontraktor untuk mengecat.

"Kos bagi mengecat semula 33 ILKKM mencecah RM5.4 juta, namun menerusi NBOS ini, kita mampu menjimatkan kos kepada hanya RM2 juta," katanya.-- Bernama

Olimpik, Rio, Dr Hilmi Yahya

Artikel Lain