suria

Tiga Sekeluarga Maut Dipercayai Dibunuh

MELAKA: Tiga sekeluarga ditemukan mati dipercayai akibat dibunuh di rumah mereka di Kampung Bertam Malim di sini awal pagi Khamis, sementara tiga lagi didapati cedera.

Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din berkata, yang terbunuh merupakan pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 70 dan 62 tahun serta anak lelaki mereka yang berusia 22 tahun.

Beliau berkata, pihak polis mendapat maklumat tentang kejadian itu pada pukul 7 pagi.

"Tiga penghuni rumah ini telah meninggal dunia manakala tiga lagi telah dibawa ke hospital yang dua daripadanya (wanita berusia 24 dan 27 tahun) mengalami kecederaan dan seorang lagi wanita berusia 80-an mengalami kecederaan kecil.

"Mangsa yang meninggal didapati cedera di bahagian kepala dan sedikit di tangan, manakala mangsa yang dibawa ke hospital mengalami kecederaan di bahagian tengkuk ke atas," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Ramli berkata, pihak polis telah menahan seorang suspek lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu di Masjid Bukit Rambai kira-kira pukul 11 pagi tadi dan yakin dapat menyelesaikan kes itu dengan penahanan tersebut.

"Rumah ini ada lapan orang penghuni dan di masa kejadian, seorang daripadanya tidak ada di rumah kerana keluar bekerja," katanya.

Beliau berkata, pihak polis mengesyaki suspek kejadian berkenaan merupakan penagih dadah tegar dan motif pembunuhan masih disiasat sama ada mempunyai kaitan dengan penagihan dadah atau tidak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

Sementara itu seorang jiran mangsa, Norashikin Mohd Arifin, 30, berkata, beliau terdengar suara orang meminta tolong dari rumah berkenaan pada pukul 6.30 pagi sebelum meminta seorang lagi jiran untuk memeriksa punca jeritan tersebut.

"Saya cepat-cepat telefon polis setelah mengetahui ada kejadian tidak diingini di rumah jiran saya itu.

"Keluarga itu tidak mempunyai masalah dengan jiran lain, mereka amat mesra dengan semua orang," katanya. - Bernama

Artikel Lain