suria

Bangsa Johor Bukan Pemisah, Tetapi Muafakat Pelbagai Kaum

Mohamed Khaled Nordin.

PETALING JAYA: Kebangkitan nasionalisme Johor dalam apa cara sekalipun tidak bertujuan untuk menjurus kepada perpisahan daripada Persekutuan Malaysia, kata Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, Johor adalah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia dan akan terus mendukung hubungan eratnya dengan Kerajaan persekutuan.

Katanya, Bangsa Johor merupakan satu identiti politik Johor yang menjurus kepada perpaduan dan sikap muhibah. 

"Ia menyeru kepada muafakat pelbagai kaum, malah menyatukan segala kerencaman bangsa, agama dan keturunan di bawah satu identiti kenegerian yang bersandarkan kepada keharmonian, persefahaman dan toleransi. 

"Bangsa Johor yang bersatu padu, maju,harmoni dan berada dalam keadaan terbaik bukan sahaja akan menjadikan Johor dan masyarakatnya lebih baik, malah akan menjadikan Malaysia dan masyarakatnya juga lebih baik.

"Ia dengan sendirinya akan mengukuhkan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan. Negeri-negeri yang kuat, dengan masyarakat yang kuat akan membentuk persekutuan yang kuat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sebuah forum pada Rabu mengenai Bangsa Johor bahawa semua negeri perlu memperjuangkan semangat sebagai rakyat Malaysia, dan bangsa kenegerian hanya boleh meruntuhkan perpaduan.

Mohamed Khaled berkata, nasionalisme Johor dan konsep Bangsa Johor adalah identiti unik yang telah lama sebati dengan Johor dan amalan masyarakatnya. 

"Seawal 1920an apabila DYMM Almarhum Sultan Sir Ibrahim memperkenal dan menggunakan istilah tersebut. Ini bermakna, penggunaan Bangsa Johor sudah wujud lebih awal dari kemerdekaan dan kewujudan Malaysia," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya meneladani kebangkitan Johor dan nasionalismenya, serta menjadi pacuan moral untuk lebih menghargai kepelbagaian berbangsa dan bernegara secara progresif dan sihat.

Artikel Berikut

Artikel Lain