suria

Bukan Ular Tedung Peliharaan

Dari kanan: Mohammad Izani, pengawal keselamatan, Mohd Khairy Ismail dan Muhamad Sufian menunjukkan gambar mereka sedang menangkap seekor ular tedung di flat Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam. —fotoASRI ABDUL GHANI/The Star
BUKIT MERTAJAM: Bekas penjinak ular yang membantu menangkap ular tedung berukuran 4.2 meter yang ditemui menjalar di dinding luar blok rumah pangsa lima tingkat di Taman Pauh Jaya di sini percaya ia adalah seekor ular liar.

Mohammad Izani Ramli, 25, yang kini berkerja sebagai ejen insurans berkata ular yang dibela dalam sangkar atau akuarium biasanya mempunyai parut di mulut dan mempunyai kulit yang bersih.

"Tetapi ular tedung yang kita ditangkap tidak mempunyai parut di mulutnya dan terdapat sedikit kotoran pada kulit. Ia juga berbau busuk," katanya ketika ditemui di sebuah restoran berhampiran flat itu.

Izani, dari Kepala Batas, telah menangkap ular tedung seberat 6kg pada Isnin bersama rakannya yang juga ejen insurans, Muhamad Sufian Zainol Abidin, 28, yang menghubunginya selepas dimaklumkan oleh seorang pengawal keselamatan.

Mereka telah meletakkan ular tersebut di dalam karung guni dan kemudiannya menyerahkannya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Ramai penduduk percaya bahawa ular itu mungkin terlepas dari kurungan di salah sebuah unit di tingkat empat tetapi Pengarah Perhilitan Pulau Pinang Loo Kean Seong berkata, pegawainya tidak menemui apa-apa yang mencurigakan selepas memeriksa unit berkenaan.

"Berdasarkan rekod, tiada lesen telah dikeluarkan untuk pemilik memelihara ular di kawasan itu," katanya, sambil menambah bahawa ular itu akan dilepaskan ke dalam hutan.

Pasangan yang tinggal di unit tingkat tiga mengimbas kembali detik-detik mereka melihat ular tedung itu yang menyelinap masuk ke dalam bilik tidur mereka melalui tingkap yang terbuka.

Penjual buah, Abdullah Che Soh, 59, dan isterinya Ramlah Majid, 56, kedua-duanya sedang berbaring di atas katil apabila ular itu muncul.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi ketika saya sedang berehat sambil merokok. Ramlah tiba-tiba menjerit dan menunjukkan ke arah tingkap.

"Ular tedung itu sedang turun dari tingkap. Saya segera mengheret Ramlah keluar dari bilik dan kami berdiri di pintu untuk menghalaunya.

"Kemudian ular itu keluar melalui tingkap yang sama," kata Abdullah.
ular tedung, Taman Pauh Jaya

Artikel Lain