suria

Wira, Wirawati Olimpik Terima Ganjaran Tambahan RM200,000



PETALING JAYA: Semua atlet yang memenangi pingat pada Sukan Olimpik di Rio menerima ganjaran tambahan sebanyak RM200,000 sebagai tanda penghargaan kerana berjuang bagi mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Atlet yang memenangi pingat perak untuk negara adalah pasangan penerjun Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong, barisan pemain badminton yang terdiri daripada Datuk Lee Chong Wei; pasangan bergu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying serta bergu lelaki yang diwakili Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

Turut tersenarai untuk menerima ganjaran tambahan ini adalah pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang yang merangkul pingat gangsa acara keirin.

Berita baik buat lapan atlet negara itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyambut ketibaan kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang Rabu.

"Sebelum ini kerajaan telah putuskan setiap pemenang pingat perak mendapat RM300,000 dan hari ini tambahan RM200,000 akan diberikan, sekali gus menjadikan jumlahnya setengah juta.

"Begitu juga pemenang pingat gangsa juga menperoleh tambahan RM200,000 untuk Azizul," katanya ketika menyampaikan ucapan ringas pada majlis sambutan kepulangan wira dan wirawati negara itu.

Najib berkata, walaupun gagal membawa pulang pingat emas, semua atlet yang memenangi pingat pada temasya sukan itu adalah "hero" di mata rakyat Malaysia.

Bagi memberi suntikan untuk kemajuan sukan negara, beliau berkata, perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan serta Ketua Kontinjen negara ke Olimpik 2016, Tan Sri Al Amin Abdul Majid akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau juga menganggap kepulangan atlet Olimpik negara yang diberi sambutan wira dan wirawati itu sebagai hari teristimewa buat rakyat Malaysia.

"Mereka bagaikan rock star, mendapat sambutan hebat hari ini," katanya.

Najib juga memetik kata-kata pelari terpantas dunia, Usain Bolt yang menggambarkan kejayaannya sekarang dengan hanya satu perkataan iaitu dedikasi.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, semua pihak termasuk jurulatih, persatuan sukan, kerajaan, sektor swasta dan rakyat Malaysia perlu bersama untuk merealisasikan matlamat negara.

"Kita perlu berdiri teguh dan kukuh semampu yang boleh untuk memastikan atlet negara memperoleh kejayaan.

"Saya mahu sukan berjaya kerana ia bukan soal warna kulit, etnik atau agama tetapi atlet negara mewakili semua rakyat Malaysia," katanya.


Artikel Lain