suria

CEO Didenda RM4,500 Kerana Palsukan Ijazah Universiti

KUALA LUMPUR: Ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat pelaburan didenda RM4,500 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini kerana kesalahan memalsukan ijazahnya bagi jawatan tinggi itu, tiga tahun lepas.

Syed Omar Syed Mohamed, 47, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Husna Dzulkifly.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia dituduh menggunakan dokumen palsu daripada Universiti Sunderland untuk mendapatkan jawatan sebagai CEO di Damansara Realty Berhad, Tingkat 10, Wisma Chase Perdana, Brickfields, di sini pada Jun 2013.

Menurut fakta kes, semasa audit dilakukan ke atas syarikat itu, juruaudit  Zulfahmy Ibrahim, 43, mendapati tertuduh menggunakan dokumen palsu daripada universiti itu dan pemerikasaan mengenai latar belakangnya dengan pihak universiti itu mengesahkan Syed Omar tidak pernah mendaftar masuk ke universiti itu.

Terdahulu, dalam rayuannya, Syed Omar yang diwakili peguam Muhammad Afif Che Had, meminta mahkamah mengenakan hukuman denda pada jumlah yang kecil kerana pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Katanya tertuduh juga perlu menanggung keluarga dan tiga anak.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Syed Omar.- Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain