suria

Wang Kerajaan Dicuri Perlu Dipulangkan - Paul Low

Paul Low.

PETALING JAYA: Mana-mana wang yang dicuri daripada Kerajaan Malaysia perlu dipulangkan sepenuhnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low.

"Mereka yang bersalah mesti dihukum mengikut undang-undang kita dan di negara-negara di mana wang itu dicuri.

"Kredibiliti dan reputasi kerajaan sedang dipersoalkan, dan oleh itu tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap mereka yang melakukan jenayah itu," kata Low ketika berucap pada simposium mengenai tadbir urus, Khamis.

Low berkata, beliau merujuk kepada tindakan yang diambil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berdasarkan aduan awam terhadap beberapa individu yang merupakan rakyat Malaysia.

"Oleh kerana dakwaan ini berkaitan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kerajaan perlu melihat perkara ini secara serius.

"Kes tersebut perlu diteliti berdasarkan bukti dan fakta yang dikemukakan oleh para penyiasat.

"Jika dana itu disahkan diambil daripada 1MDB, kerajaan perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu-individu yang dinamakan, atau sesiapa sahaja yang bersubahat dalam skim ini yang didakwa menipu 1MDB," kata Liow.

Tambah Low, agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang Malaysia dan Peguam Negara perlu bekerjasama sepenuhnya dengan semua agensi antarabangsa dalam siasatan. 

"Ia bertujuan untuk mengurangkan persepsi negatif dan mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan," kata Low.

DOJ, 1MDB, Paul Low

Artikel Lain