suria

Penjara, Denda Jika Jual Rokok Kepada Remaja Bawah 18 Tahun

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan tegas termasuk penjara dan denda jika sabit kesalahan terhadap para peniaga yang masih berdegil menjual rokok kepada remaja di bawah umur 18 tahun.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan sewajarnya bagi tujuan melindungi orang belum dewasa daripada bahaya tabiat merokok.

Beliau berkata pihak penguatkuasaan kementerian telah menjalankan operasi memeriksa premis-premis yang menjual rokok kepada remaja bawah umur selepas risikan sebulan di Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Beliau berkata 21 kedai runcit dan kedai tepi jalan didapati melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan merekodkan 13 kesalahan berkaitan dengan penjualan rokok di bawah 18 tahun termasuk menjual secara sebatang-sebatang. 

"Terdapat beberapa premis juga gagal mempamerkan tanda larangan menjual rokok kepada orang di bawah umur malah menjual rokok di bawah harga minimum," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Beliau berkata kertas siasatan telah dimajukan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk mendakwa 13 peniaga berkenaan.

Dalam pada itu, katanya, enam remaja yang berpakaian sekolah dan memiliki rokok di tangan mereka turut ditahan dalam operasi itu dan telah dirujuk kepada sekolah masing-masing untuk tindakan lanjut.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain