suria

Murid Mangsa Culik Di Miri Ditemui Selamat

Derrona diselamatkan selepas ditemui dalam keadaan tangan dan kaki diikat.

MIRI: Derrona Joylyn Joseph, murid perempuan Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Miri yang diculik dua hari lalu ditemui selamat petang Khamis.

Ketua Polis Miri, Asisten Komisioner  Junaidi Bujang berkata, Derrona, 11, dijumpai dalam belukar di Jalan Miri Bypass setelah suspek utama kes itu yang berumur 36 tahun ditangkap pada pukul 3.20 petang.

"Mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi kereta Perodua Viva yang dijumpai tersadai di tanah lapang di jalan yang sama pada hari Selasa," katanya.

Beliau berkata ketika ditemukan, kedua-dua belah tangan Derrona terikat  dengan tali plastik dan dia kelihatan lemah serta dalam ketakutan.

"Turut terdapat bekas makanan dan air di tempat mangsa disembunyikan," katanya.

Junaidi berkata mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk mendapat rawatan selanjutnya.

Mengenai motif kejadian itu, beliau berkata suspek yang merupakan penagih dadah berniat untuk menculik Derrona kerana menghadapi masalah kewangan.

Suspek bersedia mengembalikan mangsa selepas keluarga mangsa memberi wang kepadanya, katanya.

Derrona diculik di hadapan sekolahnya setelah suspek yang mempunyai pertalian keluarga dengan mangsa menjemput dia balik dari sekolah.-- Bernama

Miri, Derrona Joylyn Joseph

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

OKU Maut Dirempuh

Artikel Lain