suria

Indonesia Akan Dimaklum Jerebu Kini Landa Malaysia

Pemandangan Bangunan Perdana Putra kelihatan sedikit kabur ekoran cuaca panas dan berjerebu melanda sekitar Putrajaya pada Selasa lalu. Foto Bernama

TAIPING: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan memaklumkan kepada negara jiran Indonesia mengenai kebakaran tanah serta hutan di Sumatera tengah telah menyebabkan jerebu rentas sempadan ke beberapa kawasan di Malaysia.

Menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau akan mengutus surat secara rasmi kepada rakan sejawatanya Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Dr Siti Nurbaya Bakar untuk memaklumkan tentang perkara berkenaan.

"Kita akan maklumkan kepada menteri berkenaan bahawa kita telah melihat jerebu ini sampai ke beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa peringkat kebangsaan 2016 di Kuala Sepetang di sini, Khamis.

Wan Junaidi berkata, walaupun negara jiran bertindak pantas dalam memadam kebakaran hutan, namun asap daripada pembakaran tersebut tidak dapat dielak daripada menyebabkan jerebu. 

"Sekarang, mereka cepat (memadam kebakaran) bila mendapat indikator ada kebakaran, tidak seperti dulu dan ini menunjukkan ia melaksanakan apa yang dijanjikan,' katanya menambah jerebu yang melanda sekarang belum pada tahap berbahaya.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat 3 petang Khamis, sebanyak 33 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas, berbahaya. - Bernama

jerebu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain