suria

Macau Scam: 88 Warga Asing Antara Ditahan Di Juru

KUALA LUMPUR: Seramai 97 individu termasuk 88 warga asing ditahan dalam operasi membanteras 'Macau Scam' di tiga kilang dan sebuah rumah di Juru dan Perai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah berkata suspek berumur lingkungan 20-an hingga 30-an itu ditahan dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari hingga 5 petang.

"Selain sembilan lelaki tempatan, warga asing yang ditahan terdiri 65 lelaki warga China, 22 wanita warga China dan seorang lelaki warga Taiwan.

"Turut dirampas dalam serbuan itu peralatan komputer, telefon, peranti sokongan dan empat kereta dengan anggaran nilai RM400,000," katanya dalam kenyataan pada Rabu malam.

Acryl Sani berkata setakat ini pihaknya masih mengesan bilangan mangsa dan kerugian sebenar berdasarkan akaun perbankan suspek yang digunakan mangsa untuk memasukkan wang seperti yang diminta sindiket berkenaan.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu berdasarkan maklumat orang awam mengenai aktiviti berkenaan.

"Hasil risikan mendapati suspek menjalankan aktiviti penipuan melalui telefon menggunakan kaedah Voice Over Internet Protocol (VoIP).

"Mereka menggunakan panggilan palsu dengan menyamar sebagai polis atau daripada Bank Negara untuk menghubungi mangsa mengenai anggota keluarga menghadapi masalah undang-undang atau perbankan.

"Kebanyakan mangsa akan memasukkan sejumlah wang untuk mengatasi masalah yang dikatakan itu," katanya.

Katanya, ketika ini kesemua tangkapan dalam proses dokumentasi di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk tindakan reman di mahkamah esok dan siasatan susulan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya.

Macau Scam

Artikel Lain