suria

Pengarah Syarikat Didakwa Tipu Urusan Permit Kerja Warganegara Asing

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas empat pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung urusan permit kerja warga asing.

Nor Hisham Ya'acob@Yacob, 42, didakwa dengan curangnya memperdayakan Koh Peng Seng, 57, untuk menguruskan proses pembaharuan dan pendaftaran permit kerja warganegara Bangladesh sehingga mangsa menyerahkan wang tunai masing-masing  RM20,000 dan RM3,000 pada 20 dan 29 Ogos, tahun lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memperdayakan mangsa sama untuk menguruskan proses pembaharuan dan pendaftaran permit kerja warganegara China sehingga mangsa menyerahkan sekeping cek tunai berjumlah RM2,000 pada 9 Sept tahun lalu.

Dia juga didakwa atas kesalahan sama bagi permit kerja warganegara Thailand yang mendorong mangsa menyerahkan sekeping cek berjumlah RM10,050 pada 11 Sept 2015.

Tertuduh didakwa melakukan keempat-empat kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Sept untuk sebutan semula kes.

tipu permit, pengarah syarikat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain